Terengganu memulakan kempen sulung mereka dalam pertandingan Piala AFC dengan langkah kanan apabila berjaya membawa pulang tiga mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Juara Liga Vietnam musim lalu, Song Lam Nghe An (SLNA). Penyerang kebangsaan, Abdul Manaf Mamat menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke 51 hasil hantaran dari Francis Doe.

Terengganu yang turun dengan diketuai oleh penjaga gol Sharbinee Allawee, menggandingkan dua bekas pemain Harimau Muda; Muslim Ahmad dan Faizal Muhamad di bahagian tengah barisan pertahanan dan dibantu oleh Mazlizam Mohamad dan Zubir Azmi. Bahagian tengah pula menyaksikan Ismail Faruqi digandingkan bersama Abdul Shukur Jusoh dan Baiano. Sementara itu Doe bersama Manaf mengetuai serangan dan dibantu oleh Ashaari Shamsuddin.

SLNA pula turun dengan hanya seorang sahaja pemain import iaitu Hughton Hector yang berasal dari Trinidad & Tobago dengan jurulatihnya, Nguyen Huu Thang meletakkan kepercayaan kepada pemain-pemain tempatan untuk mengatasi Sang Penyu. Kepercayaan itu dilihat berasas apabila di awal permainan Hector berjaya menyelinap masuk ke dalam kawasan penalti Terengganu untuk menanduk satu hantaran cantik dari rakan sepasukannya, namun cubaan beliau tersebut gagal menepati sasaran.

Permainan lebih bertumpu di bahagian tengah dengan kedua-dua pasukan gagal menunjukkan penguasaan bola yang lama dengan hantaran-hantaran yang kurang tepat banyak dilakukan oleh para pemain. Doe yang dikawal kemas oleh barisan pertahanan SLNA berjaya juga melepaskan satu rembatan dari jarak 40 meter pada minit ke 36. Ianya sudah  menjunam masuk namun sempat ditolak keluar oleh penjaga gol, Tran Nguyen Manh.

Pasukan tuanrumah seolah-oleh dikejutkan oleh cubaan tersebut terus sahaja cuba bangkit. Penyerang mereka, Pham Van Quyen menguji Sharbinee dengan satu sepakan percuma yang berjaya ditolak keluar oleh penjaga gol tersebut. Menjelang minit-minit akhir separuh masa pertama SLNA berjaya merobek pertahanan Terengganu sekali lagi namun cubaan leret oleh Nguyen Trong Hoang gagal menemui sasaran.

Akhirnya Terengganu menghukum kegagalan SLNA memanafaatkan peluang yang hadir apabila Manaf dengan tenang menyudahkan hantaran tinggi Doe yang melihat rakan sepasukannya membuat larian dari bahagian tengah. Dalam temasya Sukan SEA 2009, Manaf turut menjaringkan gol ketika membantu pasukan Malaysia muncul sebagai pemenang pingat emas dalam acara bolasepak di bumi Vietnam.

Terengganu cuba memperlahankan rentak permainan namun ianya hampir mengundang padah apabila SLNA berjaya membuat satu cubaan yang tepat ke arah pintu gol Sang Penyu namun Sharbinee berjaya menolaknya keluar. Dari sepakan sudut yang menyusul, pemain SLNA kehilangan bola membolehkan Terengganu membuat satu serangan balas yang pantas.

Permainan satu-dua antara Manaf dan Doe membuka ruang untuk penjaring gol itu masuk ke kawasan bahaya namun Nguyen Manh keluar dengan pantas untuk merampas bola di kaki Manaf dan menghalang penyerang tersebut menambah jaringan.

Dengan permainan berbaki sepuluh minit, pemain tengah Terengganu Baiano membuat kesilapan dalam hantarannya membolehkan SLNA mengatur satu serangan pantas. Kegagalan Muslim membaca dengan baik hantaran bola tinggi membolehkan Hector menyelinap di belakangnya. Pemain tersebut seharusnya membuat penyudahan yang mudah dengan hanya Sharbinee sahaja di hadapannya. Namun rembatan Hector gagal menemui sasaran, mengecewakan para penyokong SLNA dan juga jurulatihnya.

Kedudukan 1-0 itu kekal ke wisel penamat memberikan kegembiraan kepada para pemain Terengganu yang berjaya memulakan kempen sulung Piala AFC mereka dengan kemenangan.