Sukan air akan menjadi tarikan utama di Terengganu bermula dari hari ini apabila Bulan Pelayaran Terengganu 2012 secara rasminya dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan, YB Dato’ Abdul Rahin Mohd Said di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Inilah kali pertama sambutan sedemikian diadakan dan ianya bertujuan untuk menarik minat lebih ramai orang awam untuk terlibat sama dalam aktiviti pelayaran di samping menjadi prelud kepada kemuncak Kejohanan Jelajah ‘Match-Racing’ Dunia iaitu Piala Monsun.

Program Bulan Pelayaran Terengganu ini akan dimulakan dengan Regata Monsun KFC yang dianjurkan oleh Persatuan Pelayaran Terengganu dengan kerjasama Persatuan Pelayaran Malaysia dan T-Best Events Sdn Bhd.

Regata ini bermula pada 8 November dan berakhir pada 11 November. Ianya akan melibatkan 140 orang peserta dengan sejumlah 78 peserta akan bertanding dalam Kelas Optimist yang berusia 15 tahun ke bawah. Kelas-kelas lain yang akan dipertandingkan ialah ‘Fleet Race’, Laser, ‘International’ 420 dan ‘Windsurfing’.

Seterusnya orangramai akan diberi peluang untuk merasai pengalaman belayar di atas bot Foundation-36 yang digunakan dalam Kejohanan Piala Monsun menerusi program ‘Mari Belayar’ yang dijadualkan berlangsung pada 16 dan 17 November. Ianya terbuka kepada mereka yang berusia 12 tahun ke atas.

Selain dari itu beberapa siri pertandingan yang melibatkan pelayar-pelayar amatur dan profesional negara telah dimasukkan sebagai sebahagian program Bulan Pelayaran Terengganu ini.

Heritage Bay Cup series give amateur sailors to test their skills in match racing competition

Dalam kategori amatur, Kejohanan Heritage Bay Cup, edisi Juara-Juara akan diadakan pada 23 November dan akan menyaksikan pasukan-pasukan yang pernah memenangi pertandingan ini berentap sesama mereka.

Di antara pasukan-pasukan yang dijangka akan mengambil bahagian ialah TESDEC, Duyong Heritage, Ri-Yaz Heritage, Akademi Binaan Malaysia Terengganu dan Team AG:eing.

Satu lagi pertandingan bertaraf amatur ialah MOTOUR Tourism Cup yang dianjurkan bersama oleh Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu dan T-Best Events Sdn Bhd. Ianya melibatkan pemain-pemain industri pelancongan terutama di Terengganu dan kali ini dijangkakan sepuluh pasukan akan bertanding.

Para pelayar profesional yang bertanding dalam Sirkit ‘Match-Racing’ Malaysia (MMRC) 2012 akan bertanding di pusingan 4 di mana juara pertama MMRC akan diketahui. Jeremy Koo bersama pasukannya KFC/Koo Racing Team masih lagi dianggap pelayar pilihan walaupun cabaran masih mampu diberikan oleh Masyuri Rahmat dari Royal Malaysian Navy Match Racing Team.

Pusingan 4 MMRC ini dijadualkan berlangsung dari 28 hingga 30 November dan juara MMRC akan mewakili Malaysia di Kejohanan Piala Monsun 2012 yang akan bermula dari 3 hingga 8 Disember. Kejohanan yang menjadi acara penutup musim untuk Kejohanan Jelajah Dunia ‘Match-Racing’ Alpari 2012 ini ialah kemuncak Bulan Pelayaran Terengganu 2012.