Connect with:




Penyokong dan bola sepak adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan kerana tanpa penyokong bola sepak hanya sekadar menjadi ‘bola sepak’ tanpa jiwa atau cinta akan sukan itu lagi. Bagi sesetengah orang, bola sepak mungkin hanya sekadar sukan tapi bagi mereka yang cintakan sukan ini, mereka tahu ianya adalah mengenai kesetiaan penyokong terhadap pasukan adalah penentu masa depan pasukan.

Lihat saja pasukan kuat di Eropah seperti Real Madrid, Barcelona, Borussia Dortmund dan Liverpool, mereka semua pasukan gergasi yang mempunyai peminat  utuh berdiri di belakang pasukan, sejauh mana pasukan mereka tersungkur, semalu mana pasukan diaibkan, di situ, di stadium sama mereka kekal berdiri bersama pasukan yang mereka cinta.

Bagi menyampaikan tanda ucapan terima kasih buat ‘Pemain ke-12’ atau para penyokong mereka, Terengganu FC (TFC) mengumumkan jersi bernombor 12 bakal diabadikan khas buat penyokong Sang Penyu bermula musim 2019. Menjadikan nombor 12 tidak akan digunakan mana-mana pemain yang beraksi bersama pasukan tersebut.

Keputusan itu adalah sebagai tanda penghargaan pihak kelab khas buat para penyokong  yang banyak berdiri di belakang pasukan Terengganu sejak sekian lama.

“Nombor ini TFC bakal dedikasikan khas buat pemain yang paling istimewa buat pasukan Terengganu, yang tidak pernah penat memberikan segalanya buat pasukan, tidak lain dan tidak bukan pemain ke-12 Terengganu iaitu PENYOKONG KITA!,” demikian petikan yang diambil menerusi satu muat naik di Facebook Terengganu FC.

Dalam muat naik yang sama, TFC turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong mereka kerana mempamerkan sokongan luar biasa serta menakjubkan sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M).

“Kami dari pihak TFC ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat penyokong yang telah menunjukkan semangat, disiplin dan aura yang luar biasa buat musim 2018.Semestinya semua sudah tidak sabar untuk mengharungi musim 2019!

“Ayuh semua! 2019 kita muncul lebih bersemangat, lebih utuh, lebih jiwa, semestinya hanya untuk TERENGGANU!,” tulis muat naik tersebut.

Bayern Munich (Jerman), SS Lazio (Itali), PSV Eindhoven (Belanda) serta beberapa kelab lagi adalah merupakan antara kelab di Eropah yang mendedikasikan nombor 12 buat penyokong mereka.

 

Foto : Facebook Terengganu Football Club