Felda United defender, Carlos Roberto blocks Terengganu striker, Effa Owona's effort towards the visitors' goal

Felda United defender, Carlos Roberto blocks Terengganu striker, Effa Owona’s effort towards the visitors’ goal

Terengganu memulakan kempen Liga Super 2013 mereka dengan hambar apabila gagal menyerlahkan permainan menarik serta dipaksa berkongsi mata oleh Felda United dalam satu-satunya perlawanan yang berlangsung di waktu petang hari ini.

Di bawah bimbingan bekas jurulatih Felda United, E. Elavarasan; Terengganu menurunkan bekas penyerang Negeri Sembilan Effa Owona yang digandingkan bersama dengan Faderin Kadir sementara Ashaari Shamsuddin pula diletakkan di posisi sayap kanan.

Sementara itu Ketua Jurulatih pasukan pelawat, K. Devan pula menurunkan Mohamad Ghaddar untuk mengetuai barisan serangan dengan dibantu oleh pemain kebangsaan, Amar Rohidan di barisan tengah.

Kedua-dua pasukan gagal menguasai perlawanan di separuh masa pertama dengan peluang terbaik terhidang kepada Ashaari apabila beliau berjaya membuat satu rembatan deras hasil dari satu sepakan sudut. Namun para penyokong Sang Penyu kecewa apabila Helmi Eliza berjaya menepis bola itu keluar.

Felda United memulakan separuh masa kedua dengan lebih bertenaga dan tidak bernasib baik apabila Ghaddar gagal mengambil peluang di atas kesilapan penjaga gol Terengganu, Wan Mohamad Azraie yang gagal menangkap kemas satu hantaran tinggi ke kawasan golnya. Rembatannya hanya mampu menggegar palang.

Namun Ghaddar berjaya juga membuka akaun jaringan bersama pasukan barunya pada minit ke 54. Kesilapan pemain pertahanan Terengganu, Zubir Azmi menyaksikan bola tiba di kaki pemain yang berasal dari Lubnan itu yang membuat larian solo sebelum menewaskan Azraie dengan satu sepakan rendah.

Gol itu membangkitkan semangat para pemain Terengganu yang mula memberi tekanan ke atas gol Felda United. Dari satu sepakan sudut Ashaari hampir-hampir menyamakan kedudukan namun cubaannya berjaya dihalang oleh ketua pasukan pelawat, Mohamad Khaironnisam.

Namun dari sepakan sudut berikutnya, Ismail Faruqi berjaya menyamakan kedudukan untuk Sang Penyu apabila tendangannya terus sahaja menerjah jaring selepas menewaskan barisan pertahanan Felda United, termasuklah Helmi.

Terengganu cuba meneruskan tekanan ke atas benteng pertahanan Felda United namun jelas barisan serangan mereka masih mencari keserasian. Namun mereka tetap mempunyai peluang untuk mempastikan kesemua tiga mata tinggal di Kuala Terengganu apabila rembatan pemain gantian, Abdul Manaf Mamat tepat menuju ke pintu gol namun Helmi berjaya menampannya keluar.

Kedua-dua pasukan berkongsi satu mata apabila pengadil Kamal Ahmad meniupkan wisel penamat.