Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada 17 dan 18 Julai ini merupakan pentas terakhir untuk para atlet olahraga negara bagi membuktikan diri mereka layak untuk dipilih mewakili Malaysia pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata, kejohanan ini dianggap sebagai salah satu platform untuk pra Sukan SEA dan juga penganjur untuk menguji peralatan dan tahap kesediaan masing-masing untuk menganjur Sukan SEA dari 19 hingga 30 Ogos ini.

 

“Kebanyakkan atlet sedang menunjukkan perkembangan mereka yang baik, tetapi ada juga diantara mereka menunjukkan prestasi yang sebaliknya.

“Kemungkinan ada diantara mereka mengalami sakit atau kecederaan. Bagaimanapun, semua atlet masih lagi diberi peluang sehingga tarikh tutup pendaftaran Sukan SEA pada hujung bulan ini.

“Nama-nama yang sudah sedia ada akan didaftarkan dahulu, kemudian kita akan kemas kini senarai tersebut,”katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Pemilihan Sukan SEA KOM di Wisma OCM di sini.

Atlet Malaysia bakal menyertai Terbuka Korea Selatan untuk acara 100 meter dan 200 meter sahaja pada hujung bulan ini.

Kejohanan Asia (ATF) ke-22 di Bhubaneswar, India bermula pada 6 hingga 9 Julai untuk melihat prestasi mereka di dalam kalangan atlet negara serantau.

Selepas senarai atlet diumumkan pada Julai, latihan Pusat Kem Olahraga akan diadakan di Ranau dan Kuala Lumpur, katanya.