Connect with:




Bekas ketua pasukan yang juga lagenda bola sepak Jerman, Lothar Matthaus menyifatkan sudah tiba masanya Marc Andre ter Stegen mengambil alih posisi sebagai penjaga gawang utama skuad Die Mannschaft dari ketua pasukan, Manuel Neuer.

Meski sudah pulih dari kecederaan patah kaki yang memaksa Neuer untuk melupakan saingan Bundesliga musim lalu, beliau masih tampak gagal kembali ke prestasi terbaik seperti mana ketika membantu Jerman menjulang Piala Dunia pada 2014.

Terbaru, penjaga gawang berusia 32 tahun itu terpaksa menelan perit apabila tiga kali gawangnya dibolosi skuad Belanda dalam saingan UEFA Nations League.

Di sisi lain, aksi yang dipersembahkan Ter Stegen dilihat semakin matang dan di Barcelona beliau dilihat cukup selesa mengekalkan status sebagai penjaga gawang utama skuad The Catalan itu.

Selain itu Ter Stegen yang pernah beberapa kali mengisi kesebelasan utama skuad Joachim Low juga dilihat memberikan persembahan yang memukau namun masih terselindung disebalik bayang prestasi lampau Neuer.

“Neuer pada ketika ini tidak berada pada prestasi terbaiknya dan jelas sekali rehat panjang (kecederaan) yang beliau tempuhi musim lalu jelas memberi kesan terhadap prestasinya, saya sedar dia ketua pasukan ketika ini tapi dengan prestasi hambar yang dipamerkan sudah tiba masanya beliau undurkan diri.

“Jelas sekali beliau masih belum mampu mempersembahkan aksi cemerlang seperti mana sebelum mengalami kecederaan patah kaki. Low harus memberi peluang serta kepercayaan kepada Ter Stegen jika mahu terus bersaing dalam saingan UEFA Nations League,” jelas Matthaus di Sky Sports.

Matthaus menyifatkan Ter Stegen sebagai antara penjaga gol berkelas dunia yang dimiliki skuad Jerman ketika ini, dengan menampilkan aksi memukau sepanjang bersama Barcelona pastinya peminat Jerman ingin melihat Ter Stegen mengisi tempat sebagai penjaga gawang utama.

“Saya fikir peningkatan yang ditunjukkan oleh Ter Stegen sangat menakjubkan, beliau bermula agak perlahan namun kini beliau antara penjaga gol terbaik di Eropah,” kata pemain yang memegang rekod penampilan paling banyak skuad Jerman itu.

Jerman bakal bertandang ke kubu Juara Piala Dunia 2018, Perancis  pada Rabu (17/10/2018) dan pastinya ianya akan menjadi satu lagi tugas getir buat Joachim Low yang menerima kritikan bertubi-tubi dari peminat serta lagenda bola sepak di Jerman.

 

Foto : Facebook Germany Football Team

Sumber : SepakBola.Com