Skuad Futsal Terengganu FC (TFC) meletakkan sandaran kepada pemain muda mereka untuk muncul sebagai pencabar utama saingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) yang bakal membuka tirai malam esok.

Menurut Penolong Jurulatih TFC, Mohd Shafily Jusoh berkata skuad yang diberi nafas baru itu sudah belajar daripada kesilapan lalu bagi memastikan pasukan berada dalam kelompok teratas liga tercapai.

“Kita sedar skuad kami bukan pasukan pilihan tetapi berdasarkan kepada senarai pemain yang bakal membawa cabaran TFC dalam kejohanan kali ini, ia bakal menjadi senjata kami.

“Kami menyenaraikan seramai 20 pemain termasuk seorang yang berusia 26 tahun manakala selebihnya berusia antara 18 hingga 21 tahun.

“Saya yakin akan kemampuan pemain yang membarisi skuad TFC kali ini dan mampu menggalas tugas dengan cemerlang sekaligus dapat memperbaiki kedudukan dalam saingan liga musim ini,” katanya.

Dalam saingan musim lalu, pasukan T-Team  yang mewakili pasukan Terengganu hanya menduduki tangga kelapan liga daripada sepuluh pasukan yang bertanding.

TFC bakal bertemu skuad Kuala Lumpur dalam aksi pertama di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam pada jam 9 malam, disusuli Kuala Lumpur City FC sehari selepas itu.

Sumber Harian Metro

Foto Kredit : hmetro(d0t)com(dot)my