Connect with:




Kegagalan Terengganu City FC (TCFC) melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai yang sudah mencecah RM 997, 100 memaksa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap dengan pendirian untuk melarang mereka daripada beraksi dalam saingan Liga Perdana 2019.

Hal ini kerana wujud kebimbangan kemungkinan masalah tunggakan gaji akan terus berulang pada musim ini meskipun mereka berjanji untuk membayar tunggakan gaji berkenaan.

Ekoran dari itu, FAM menegaskan semua hadiah wang tunai TCFC selaku juara, wang insentif peringkat kumpulan dan deposit penyertaan berjumlah RM355,000 yang dimiliki TCFC dengan sendirinya yang dibekukan sebelum ini akan digunakan untuk menyelesaikan sebahagian hutang terbabit.

Berdasarkan perkiraan dibuat, seramai 23 pemain dan pegawai akan mendapat wang tunggakan gaji berkenaan secara rata yang akan dibayar oleh FAM terus kepada pemain dan pegawai terbabit.

Selain itu, ‘ugutan’ TCFC terhagap FAM hanya akan membawa implikasi besar selepas ini sekiranya mereka enggan menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

Sebelum ini, pengurus TCFC, M Rezal menerusi kenyataannya dalam laporan media yang disiarkan pada 21 dan 22 Januari 2019 menyebut bahawa TCFC akan menjelaskan semua hutang (tunggakan gaji) hanya jika FAM membenarkan mereka beraksi di Liga Premier 2019 dengan alasan kelab berkenaan layak secara merit selepas muncul juara Piala FAM 2018 pada 6 September 2018.

Namun, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam membidas kenyataan tersebut dengan memberitahu TCFC mempunyai kemelut hutang  yang banyak hampir menceceah RM1 juta.

“Perlu diingatkan, apabila PBSNT dan Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Nerus menarik balik lesen kebenaran terhadap TCFC itu, maka FAM secara tidak langsung tidak lagi mengiktiraf TCFC sebagai sebuah kelab yang diberikan kebenaran untuk bertanding,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Berdasarkan rekod-rekod sebelum ini, TCFC telah beberapa kali mungkir janji untuk menjelaskan tunggakan gaji para pemain dan pegawainya biarpun ia sudah tercatat secara hitam putih.

“Diharap TCFC tidak terus menuding jari kepada pihak lain dan menetapkan pula syarat yang perlu dituruti FAM, sebaliknya mereka perlu mengambil sikap bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelesaikan baki hutang sedia ada itu mengikut tarikh telah ditetapkan iaitu sebelum atau pada 19 Februari 2019.

“Tiada siapa perlu disalahkan dalam hal ini selain daripada TCFC kerana jika mereka berusaha menyelesaikan tunggakan hutang yang ada ketika itu sebelum atau pada 29 September 2018, sudah tentu TCFC sudah boleh beraksi pada Liga Perdana 2019,” katanya.