Sirkit ‘Match-Racing’ Malaysia 2012 mendapat suntikan moral apabila satu lagi venue telah dimasukkan ke dalam kejohanan sulung anjuran ‘Malaysian Yachting Association’ ini.

Tanjung Leman di Mersing, Johor menjadi destinasi terbaru dan telah dimasukkan sebagai pusingan ketiga hujung minggu ini sebelum para peserta berentap di pusingan akhir yang akan diadakan di Pulau Duyong, Kuala Terengganu pada bulan November nanti.

Para pelayar akan mula beraksi pada hari Jumaat dalam pusingan kelayakan dengan pusingan kalah mati dijadualkan akan berlangsung pada hari Sabtu dan perlawanan akhir pula pada pagi Ahad.

Di Tanjung Leman para peserta akan menggunakan bot ‘Foundation 36’ yang dibawa dari Kuala Terengganu khusus untuk pusingan ini. Ianya merupakan perubahan dari dua pusingan sebelum ini yang menggunakan platus yang jauh lebih kecil saiznya dan akan memberi cabaran tambahan kepada para peserta di samping dengan keadaan di Tanjung Leman itu sendiri.

Pusingan ketiga ini dikelolakan oleh ‘Johor Yachting Association’ (JYA) dan ianya berlangsung serentak dengan Regatta Terbuka Johor KFC-Felda 2012 yang turut dianjurkan oleh JYA.

Pendahulu sirkit, Jeremy Koo bersama dengan pasukannya Koo Racing Team berpeluang untuk mengesahkan tempat di Piala Monsun 2012 sekiranya berjaya memenangi pusingan ketiga ini.

Jeremy kini sudah berjaya mengumpul 50 mata dari dua kemenangan beliau di Lumut dan Pulau Indah.

Namun beliau pasti akan dicabar oleh dua orang pelayar Royal Malaysian Navy Match Racing Team, Masyuri Rahmat (RMN 1) dan Harisfabillah Muhammad (RMN 2) yang masing-masing sudah mengumpul 41 dan 38 mata. Turut berada dalam perkiraan ialah Hazwan Hazim Dermawan (Permai Hotel Match Racing Team) yang turut mengumpul 38 mata.

Selain dari itu, kehadiran peserta ‘wild card’ Khairulnizam Mohamad Afendy yang menjadi pelayar tunggal Malaysia di saingan Olimpik London 2012 baru-baru ini juga dilihat sebagai faktor yang mampu merancakkan lagi saingan di Tanjung Leman ini.

Khairulnizam yang akan bertanding bersama pasukannya, Kedah Sailing Association merupakan peserta tunggal yang berjaya menewaskan Jeremy awal tahun ini dalam Kejohanan Pelayaran Asia ke 15 yang berlangsung di Langkawi.

Selain dari pelayar-pelayar di atas, turut bertanding di Tanjung Leman ialah pemenang MMRC 2008, Nurul Ain Mohamad Isa yang akan mengetua cabaran Ri-Yaz Heritage Sailing Team dan Rizal Mahadi bersama pasukannya, Setia West Marine.