Connect with:




Peluang buat skuad Lang Merah untuk bersaing dalam Piala AFC terkubur apabila peluang itu diserah kepada pasukan lain.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) gagal mendapatkan lesen Piala AFC telah menyebabkan slot ke Piala AFC diisi dengan pasukan Pahang yang juga kalah menentang Kedah dalam perlawanan akhir Piala FA Mei lalu.

Kelewatan dalam menghantar penyata kewangan yang siap diaudit kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengikut tarikh akhir yang ditetapkan menjadi punca tidak diberi lesen untuk beraksi dalam kejohanan tersebut.

Berikut merupakan beberapa pasukan Malaysia yang pernah bertanding dalam kejohanan AFC :

 

Piala AFC 2004

Edisi kali pertama menyaksikan Perak dan Negeri Sembilan beraksi dalam AFC. Perak tampil sebagai juara liga 2003 manakala Negeri Sembilan pula ialah juara Piala FA 2003. Negeri Sembilan terkandas di peringkat kumpulan dan Perak menamatkan saingan di suku akhir kejohanan sahaja.

Piala AFC 2005

Edisi kali ini menampilkan Pahang dan Perak menyertai Piala AFC 2005. Pahang yang juga juara liga 2004 manakala Perak sebagai juara Piala FA 2004. Namun Kedua-dua Pahang dan Perak terkandas di peringkat kumpulan.

Piala AFC 2006

Perlis layak sebagai juara liga 2005 manakala Selangor layak sebagai juara Piala FA 2005 untuk bertanding dalam Piala AFC 2006 ini. Keputusan menyaksikan Perlis terkandas di peringkat kumpulan manakala Selangor tewas di suku akhir.

Piala AFC 2007

Negeri Sembilan tampil sebagai juara liga 2006 manakala Pahang tampil sebagai juara Piala FA 2006 untuk bertanding dalam Piala AFC 2007. Malang buat edisi kali ini, Kedua-dua Negeri Sembilan dan Pahang juga terkandas di peringkat kumpulan.

Piala AFC 2008

Kedah layak sebagai juara berganda Malaysia tahun 2007 manakala Perak layak sebagai naib juara liga 2007 untuk bertanding dalam Piala AFC 2008. Kedah dan Perak layak ke peringkat suku akhir sebelum tunduk kepada lawan masing-masing.

Piala AFC 2009

Beberapa perubahan format pertandingan telah dibuat pada edisi kali ini dan lebih banyak pasukan menyertai Piala AFC 2009 ini. Kedah layak sebagai juara berganda Malaysia pada tahun 2008 manakala Johor FC layak kerana mendapat tempat ke-3 dalam liga Malaysia 2008. Terdahulu Negeri Sembilan (naib juara liga) dan Selangor (naib juara Piala FA) telah menolak untuk bermain dalam Piala AFC 2009 atas sebab masalah kewangan.

Piala AFC 2010

Hanya Selangor sebagai juara liga 2009 yang mewakili Malaysia pada edisi Piala AFC 2010 ini. Namun, pasukan Selangor tekandas di peringkat kumpulan di belakang Sriwijaya (Indonesia) dan Binh Durong (Vietnam).

Piala AFC 2011

Kegagalan dalam memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh AFC sebelum kejohanan Piala AFC 2011 telah menyebabkan tiada wakil dari Malaysia dalam edisi kali ini.

Piala AFC 2012

Malaysia kembali menyertai Piala AFC 2012 dengan Kelantan layak sebagai juara liga tahun 2011. Terengganu sebagai juara Piala FA 2011 sepatutnya bertanding dalam pusingan kelayakan Piala AFC 2012 tetapi memandangkan Liaoning Whowin (China) telah menarik diri, maka Terengganu terus layak ke peringkat kumpulan tanpa melalui pusingan kelayakan.

Kelantan dan Terengganu melepasi peringkat kumpulan dan mara ke pusingan kalah mati 16 pasukan. Malangnya Kelantan dan Terengganu bertemu sesama sendiri dan Kelantan telah mara ke suku akhir setelah menewaskan Terengganu 3-2. Di peringkat suku akhir pula, Kelantan dibenam pasukan Erbil (Iraq) dengan agregat 2-6.

Piala AFC 2013

Kelantan muncul dalam Piala AFC 2013 sebagai juara berganda dari Malaysia untuk tahun 2012 manakala Selangor muncul sebagai tempat ke-3 dalam liga Malaysia 2012 menggantikan Lions XII (naib juara liga) yang merupakan pasukan jemputan. Kelantan dan Selangor terkandas kepada lawan masing-masing di peringkat kalah mati 16 pasukan.

Piala AFC 2014

Dalam Piala AFC 2014 ini, Selangor tampil sebagai naib juara liga 2013 menggantikan Lions XII (juara liga 2013) yang merupakan pasukan jemputan. Kelantan pula tampil sebagai juara Piala FA 2013. Kedua-dua Selangor dan Kelantan terkandas di peringkat kumpulan.

Piala AFC 2015

Sebagai juara liga 2014, JDT layak ke pusingan kelayakan liga juara-juara Asia namun terkandas apabila tewas kepada Bangkok Glass (Thailand) dengan jaringan 0-3. Jadi JDT dan Pahang (juara Piala FA 2014) bertanding dalam Piala AFC 2015 kali ini. JDT muncul pasukan dari Malaysia yang pertama menjejakkan kaki ke peringkat separuh akhir Piala AFC setelah mengejutkan South China (Hong Kong) di suku akhir. Pahang pula terkandas di suku akhir kepada pasukan Istiklol (Tajikistan). Menanti JDT di separuh akhir ialah juara bertahan dari Kuwait iaitu al-Qadsia. JDT menjadi juara piala AFC pada edisi 2015.

Piala AFC 2016

Dua pasukan dari Malaysia yang akan menyertai Piala AFC 2016 ialah juara Liga Super Malaysia 2015 iaitu JDT dan naib juara Liga Super Malaysia 2015 iaitu Selangor. Selangor menggantikan pasukan Lions XII (juara Piala FA) yang tidak layak ke Piala AFC disebabkan Lions XII adalah pasukan jemputan dalam Liga Malaysia.

 

Foto Kredit : Asiana.my , AFC