Connect with:




Impian Barcelona untuk meneruskan rekod 100 peratus kemenangan dalam saingan La Liga terhalang apabila mereka sekadar seri 2-2 ketika bertemu Girona di Nou Camp dalam perlawanan yang menyaksikan skuad tuan rumah itu beraksi 10 pemain ketika perlawanan masih berbaki 55 minit.

Pemenang lima kali Ballon D’or, Lionel Messi meledak gol pembukaan untuk meletakkan juara bertahan itu di hadapan pada minit ke-19, Messi hampir menambah gol kedua peribadi beberapa minit kemudian namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan lawan.

Tindakan Clement Lenglet yang mengasari Pere Pons pada minit ke-35 nyata mengundang padah apabila Pengadil, Jesus Gil Manzano yang meneliti video bantuan pengadil (VAR) mengarahkan pemain berbangsa Perancis itu untuk meninggalkan padang.

Girona berjaya memanfaatkan kepincangan Barcelona yang beraksi 10 pemain apabila penyerang Uruguay, Cristhian Stuani berjaya menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Marc-Andre ter Stegen bagi mengikat kembali kedudukan 1-1 menuju tamat separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Stuani tidak menunggu lama untuk meletakkan pasukannya mendahului 2-1 pada minit ke-51 namun Gerard Pique enggan membiarkan pasukannya tunduk di hadapan penyokong sendiri apabila berjaya menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-63, kedudukan 2-2 bertahan sehingga ke wisel penamat.

Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, walaubagaimanapun tampil mempertahankan Lenglet dengan menyifatkan layangan kad merah yang diterima pemain pertahanan itu adalah terlalu awal dan jelas ianya membunuh permainan yang sedang rancak .

“Kali pertama saya melihat seorang pemain yang dibuang padang memohon maaf, mungkin keputusan VAR adalah muktamad namun bagi saya hukuman buang padang terhadap Lenglet adalah tidak tepat.

“Kurang seorang pemain menyebabkan kami sedikit terjejas dan kesilapan melepaskan gol pertama itu kepada lawan memaksa kami membayar ganjaran besar apabila keciciran mata di laman sendiri,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Setelah mengharungi lima perlawanan liga, skuad The Catalan kini berkongsi 13 mata dengan pendahulu liga yang juga musuh tradisi mereka, Real Madrid.

Sementara itu, Sevilla yang tumpas mengejut ditangan Getafe minggu lalu di laman sendiri, bangkit membelasah Levante di tempat lawan dengan keputusan 2-6, Real Betis pula gagal memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri apabila sekadar seri 2-2 menentang Athletic Bilbao dan Valencia yang masih buntu memburu kemenangan pertama liga sekali lagi mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Villareal.