Connect with:




Segala persoalan mengenai kelab yang bakal disertai bekas kapten bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim sudah pun terjawab apabila dia sah mengikat kontrak semusim bersama Melaka United bagi mengharungi saingan liga Malaysia musim depan.

Selain Safiq, turut hadir sama adalah Shukor Adan, Razman Roslan dan lima lagi pemain lain iaitu Raimi Md Noor, Nazrin Nawi, Wan Amirul Afiq Abdul Rahman, R Gopinathan dan Saiful Riduwan Selamat.

Mereka menandatangani kontrak tersebut hari ini yang disaksikan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari yang juga Ketua Menteri dan Timbalan Presiden MUSA, Datuk Yusoff Mahadi.

Safiq, 31 sebelum ini yang beraksi di posisi tengah mengejutkan ramai pihak apabila dia membuat keputusan untuk tidak lagi bersama Johor Darul Takzim pada musim hadapan dan dikaitkan dengan kelab bola sepak Selangor dan PKNS.

Namun, tonggak utama kejayaan JDT dalam kejohanan Piala AFC pada 2015  itu akhirnya memilih MU untuk memperkasakan Melaka United dalam liga tahun hadapan.

Dalam pada itu, Yusoff memberitahu bahawa kemasukan pemain-pemain hebat dalam kancah bola sepak negara sekaligus membuktikan MU komited dalam misi mereka untuk mempamerkan saingan sengit pada musim hadapan.

“Jika sebelum ini skuad Hang Tuah kurang menjadi tumpuan pemain yang handal, namun ia sudah berubah. Diharapkan dengan adanya mereka ia mampu menjenama pasukan ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Foto: Fourthofficial.com