Seperti yang kita ketahui, bila musim cuti tiba ramai yang akan mencari tempat untuk beriadah dan berekreasi. TETAPI, anda haruslah berjaga-jaga sekiranya ingin pergi ke tempat yang berbahaya.

Keadaan cerunan gunung yang menegak atau ombak maut menggunung itu adakalanya mengusik jiwa. Demi minat dan kepuasan, ia tentu tidak menjadi terlalu bermasalah walaupun harganya mungkin nyawa sendiri.

Walaupun begitu, sejumlah lokasi amat berbahaya ini mungkin memerlukan anda berfikir lebih daripada sekali sebelum menyahut cabarannya.

Antaranya ialah :

TEAHUPOO, TAHITI

Selain keindahan pantainya yang jernih dan pemandangan yang cantik, ia juga disenaraikan sebagai antara 10 lokasi berombak besar paling bahaya di dunia.

Pantai Teahupoo telah mencatatkan lima kematian sejak dari tahun 2000. Menjadi lokasi kejohanan dunia setiap tahun, ombaknya boleh mencapai ketinggian tujuh meter bersama kekuatan yang menyebabkan kematian atau kecederaan parah.

Nama Teahupoo boleh diterjemah sebagai ‘Tempat Tengkorak’.

PANTAI ACAPULCO, MEXICO

Tidak semua yang kita lihat itu indah belaka. Kawasan perkelahan Acapulco memang terkenal dengan jenayah tertinggi dengan kadar pembunuhan sebanyak 142 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Firma pelancongan Australia pula menyarankan warga negara itu hanya melawat kawasan yang sering dikunjung ramai, kerana kawasan itu sentiasa berdepan risiko pembunuhan dan penculikan.

Kebanyakan jenayah berlaku di kejiranan kelas pertengahan yang terletak tidak jauh dari apartmen mewah, pusat peranginan dan kedai eksklusif.

KOKODA TRACK, PAPUA NEW GUINEA

“Kokoda Track” merupakan kawasan yang popular semasa Perang Dunia Kedua. Track berkenaan menjadi tempat kunjungan warga Australia yang ingin memberi penghormatan kepada tentera yang terkorban ketika konflik berkenaan.

Laluan sepanjang 96 kilometer itu melalui kawasan hutan, sungai dan pergunungan. Kawasan itu dikatakan telah mengorbankan enam pengunjung Australia, selain 50 yang lain terpaksa diselamatkan melalui helikopter.

MONT BLANC, PERANCIS DAN ITALI


Berpuluh-puluh orang daripada 20,000 pengunjung yang cuba mendaki pergunungan tertinggi terbunuh di “Mont Blanc”.

Gunung yang setinggi 4810 meter itu menyebabkan pelancong sering menjadi korban akibat perubahan cuaca mengejut dan runtuhan batu di kawasan tersebut.

Kes terburuk telah direkodkan pada tahun 2012 apabila sembilan pendaki dari Swirtzerland, Jerman, Britain dan Sepanyol terbunuh dirempuh runtuhan salji.

TAMAN NEGARA GUNUNG BERAPI HAWAII

Aktiviti mengunjungi gunung berapi semakin popular di kalangan pelancong yang dahagakan cabaran. Namun ia ternyata tidak selamat dan membahayakan.

Taman Negara Gunung Berapi Hawaii melaporkan ada sebanyak 40 kematian dan 45 kecederaan serius antara 1992 hingga 2002.

Pada tahun 2007, pihak berkuasa menutup aktiviti berbasikal di Kilaluea tempat gunung berapi paling aktif di dunia selepas tiga orang maut dalam tempoh setahun.

Pelbagai risiko yang dihadapi oleh pelancong seperti hilang kawalan ketika berbasikal, cedera parah, melecur akibat terkena lahar dan terhidu gas beracun yang membunuh.

SKELLIG MICHAEL

Skellig Michael yang terletak di Barat Ireland, diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1996 berdasarkan kepada kewujudan biara purba unik di situ.

Ketinggian itu boleh dicapai selepas anda mendaki 600 anak tangga berusia lebih 1,000 tahun sambil mengharungi deruan angin kencang serta lereng curam.

Tergelincir dan terjatuh adalah kemalangan paling lazim di kawasan tersebut. Pada tahun 2009, dua kematian direkodkan dan mendorong pihak yang berkenaan mengkaji semula aspek keselamatan sedia ada.

Walaupun sering mengalami insiden, kawasan itu tetap tidak dipasang palang keselamatan.