Connect with:




Tiger Woods tetap membuat pukulan sekuat tenaganya sama seperti sebelum ini dan dia memutuskan untuk tidak melantik mana-mana jurulatih kerana tidak seorang pun mampu mencipta gaya hayunan baru yang sesuai berdasarkan kepada kecederaan belakang yang dialaminya itu.

Justeru, Woods memilih untuk mendengar kata hatinya dan bukan jurulatih.

“Tidak seorangpun yang pernah mengalami kecederaan tulang belakang seperti yang sama alami ini dan tidak ada antara mereka yang mampu membuat pukulan seperti yang saya lakukan,” kata Woods menjelang aksi pembukaan Terbuka Farmers Insurance yang juga acara Jelajah PGA itu.

“Saya teringin berjumpa dengan sesiapa yang mampu membuat hayunan melebihi 120 batu sejam dengan keadaan belakang seperti saya. Anda kenal sesiapa?

“Bagi saya, tidak ada seorang pun yang faham keadaan tubuh saya ketika ini dan saya perlu bergantung sepenuhnya kepada diri sendiri dan mengkaji apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh tubuh saya.

“Saya tidak mempunyai kaedah pukulan tertentu dan itulah realitinya.”

Woods sedang berusaha meningkatkan kelajuan hayunan driver yang digunakannya kepada 125 batu sejam untuk membolehkannya setanding dengan pemain jelajah lain dan ketika di zaman kemuncaknya, pukulannya pernah mencecah 126-128 batu sejam.

“Pakar pembedahan saya pernah berkata, jika saya dapat membiasakan diri dengan keadaan belakang badan saya sekarang, saya pasti dapat kembali membuat pukulan seperti dulu,” katanya.

“Dan beliau tidak menipu. Kini belakang saya tidak lagi sakit, begitu juga ketika saya membuat hayunan. Saya juga tidak merasa sakit ketika memukul bola, tidak lagi sakit ketika saya berjalan.

“Saya sudah mula boleh membuat pukulan dan jarak yang saya inginkan sudah semakin hampir.

“Kini saya perlu cuba memulakan pukulan seperti itu di kejohanan. Ia apsti mengambil sedikit masa tetapi saya sedia mencubanya.”

Sumber: AFP

Foto Kredit: maxim.com