Connect with:




Kejayaan meraih pingat gangsa oleh Mohd Najib Turano bagi acara basikal ujian masa individu lelaki C4 lebuh raya Sukan Para Asia Jakarta 2018 di Litar Antarabangsa Sentul, Bogor, Indonesia sebentar tadi amat berharga buat dirinya yang beranggapan kejayaan itu sama seperti beliau berjaya meraih emas.

Mana tidaknya, Najib yang terpaksa turun beraksi dengan menahan kesakitan berkayuh sekuat hati bagi menamatkan perlumbaan sejauh 20 kilometer (KM) dan mengesahkan pingat pertama kontinjen Malaysia menerusi acara basikal para.

Menurut laporan akhbar Harian Metro, dengan catatan masa 29 minit 57.243 saat (s), Najib mengesahkan pingat gangsa menjadi miliknya, ketinggalan 1:59.603s kepada pelumba China, Guoping Wei (27:57.640s) yang meraih emas, diikuti pelumba tuan rumah meraih pingat perak apabila merekodkan masa 28:21.835s.

“Syukur saya berjaya menaiki podium dan menghadiahkan pingat pertama buat kontinjen negara dalam acara berbasikal biarpun diberikan saingan hebat pelumba China dan Indonesia.

“Secara peribadi tentu saja saya menyasarkan emas dalam acara ini namun apa boleh buat kerana kaki kiri kembali sakit serta masalah saraf yang saya alami sebelum ini kembali menghantui,” katanya yang dihubungi sebentar tadi.

Namun Najib tetap berpuas hati dengan pencapaian peribadinya itu kerana dia tidak diletakkan sasaran untuk meraih pingat bagi acara tersebut kerana masalah kesihatan yang dialami sebelum ini.

Masih ada empat lagi acara menanti Mohd Najib termasuk lepas beramai-ramai (lebuh raya), pecut berpasukan campuran, 1km dan acara kegemarannya 4km yang turut menyaksikan beliau turun sebagai sandaran meraih emas.

Ditanya mengenai pencabar, Najib memberitahu bahawa beliau merasakan akan ada cabaran hebat dari pelumba China dan Iran terutama bagi acara 4km dan pecut berpasukan campuran.