Connect with:




Taekwondo Negeri Selangor (TNS) telah mendakwa Taekwondo Malaysia (TM) menghalang atlet Selangor untuk menyertai Kejohanan Kebanggsaan Ke-10 sekaligus menyekat pembangunan sukan dan melanggar Akta Pembangunan Sukan 1997 secara menyeluruh.

Menurut Presiden TNS, Dr T Arasu berkata keputusan TM menghalang 52 atlet Selangor untuk menyertai kejohanan yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Wisma OCM itu bakal menjejaskan masa depan atlet berkenaan untuk mewakili negara kerana kejohanan tersebut merupakan pemilihan atlet untuk ke Sukan SEA 2019.

Pemenang pingat perak Sukan SEA Chiang Mai 1995 itu menyifatkan tindakan TM akan memberikan kelebihan kepada kelab premier dan ‘sabotaj’ kepada Selangor kerana negeri ini sentiasa mendominasi kejohanan taekwondo di peringkat kebangsaan sama ada peringkat senior ataupun remaja.

“Menurut surat yang dihantar TM, atlet Selangor tidak dibenarkan menyertai kejohanan tersebut kerana TM menerima pendaftaran atlet daripada dua pihak dan terdapat konflik dalaman.

“Tetapi atlet Selangor boleh mendaftarkan diri dalam kejohanan tersebut jika menyertai kelab primier, di mana tarikh tutup pendaftaran pada 5 petang semalam. Agak mustahil atlet dapat mencari kelab baharu dalam masa terdekat dan belum tentu kelab berkenanan menerima atlet dari kelab lain jika mereka sudah mempunyai atlet dalam kategori tertentu.

“Mengikut Perlembangaan TM seseorang atlet hanya dibenarkan menyertai satu kelab sahaja. Jika atlet tersebut mewakili kelab baharu maka dia perlu keluar dari kelab asalnya,” kata Arasu.

Walau bagaimanapun, Arasu yakin TNS bakal membawa dua atlet Selangor ke Sukan SEA Manila untuk disiplin poomsae, iaitu atlet pelapis negara, Lim Jia Wei serta pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 dan pingat gangsa Kejohanan Dunia 2018, Chew Wei Yan yang berhasrat mewakili negara selepas mengumumkan persaraan pada hujung tahun lepas. – BERNAMA

Foto : Facebook Taekwondo Negeri Selangor TNS