Jaringan tunggal pemain gantian Rudie Ramli (49’) memastikan Selangor menewaskan Perak 1-0 (agregat 4-1) di Stadium Perak, Ipoh. Penguasaan Perak dari awal perlawanan menunjukkan kesungguhan anak didik Norizan Bakar untuk menidakan misi dan impian Selangor untuk meneruskan kemaraan. Namun ketangkasan G. Jeevanathan memastikan gawang Selangor kebal sehingga wisel penamat.

Gandingan Akmal Rizal dan Mohd Failee Ghazli di bahagian depan serta K. Nanthakumar bersama Shahrulnizam Mustapa di bahagian tengah skuad Seladang masih gagal membantu mereka mencari gol yang dinantikan hampir 30,000 penyokong.

Selangor kelihatan bermain secara bertahan dengan sekali sekala melakukan serangan pantas ke kubu lawan. Manakala Perak pula menyerang dari segenap sudut, masih gagal mendapatkan gol.

Dalam keghairahan mereka mengatur serangan, kegagalan Nasril Nourdin menepis kemas sepakan percuma Safiq Rahim telah dimanfaatkan Rudie Ramli yang masuk menggantikan Amri Yahya dengan tandukan mudah ke dalam gawang Perak. Walaupun terus cuba mencari gol dengan memasukan Shafiq Jamal dan Nazri Kamal, Perak terus kempunan dengan kekentalan pertahanan dan penjaga gol Gergasi Merah tersebut.

Sementara itu, beraksi di tempat lawan, Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu tidak menghalang skuad Penyu untuk mendahului dua gol di babak pertama pada minit ke 18 dan 38, hasil jaringan Ashaari Shamsuddin. Kelantan yang cuba bangkit di babak kedua dengan menyamakan kedudukan hasil jaringan Azamuddin Akil (54’) dan Badri Radzi (70’), tetapi masih belum cukup untuk menafikan langkah Terengganu yang layak secara agregat 5-3.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan terpaksa beraksi sehingga masa tambahan sebelum berjaya menumbangkan Felda United dengan keputusan 3-0 (agregat 3-1). Hairuddin Omar menjaringkan gol pertama Negeri Sembilan pada minit ke 16 untuk mengikat Felda United 1-1 secara agregat. Dua gol di masa tambahan melalui tandukan Idris Karim dan jaringan Hairuddin Omar menyelamatkan Negeri Sembilan dengan kemenangan secara agregat 3-1.

T-Team pula mencatatkan sejarah tersendiri apabila melayakkan diri ke separuh akhir dengan kemenangan 2-1 ke atas Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Jaringan T-Team dihasilkan oleh Fitri Omar pada minit ke 28 dan Zairo Anuar Zailani pada minit ke 60. Walaupun cuba bangkit, Sabah cuma dapat menjaringkan satu gol iaitu menerusi Mafry Balang pada minit ke 86. T-Team layak secara agregat 4-2.