Connect with:




Ahli parlimen baik dari pihak pembangkang mahupun kerajaan dinasihatkan untuk tidak lagi menerima tawaran mengetuai mana-mana kelab atau persatuan di negara ini.

Demikian teguran yang dilakukan Menteri Belia dan Sukan ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya di Dewan Rakyat semalam.

Meskipun perkara tersebut berada di luar bidang kuasanya sebagai menteri, beliau merasakan bagi mengelak berlakunya campur tangan politik dalam sukan yang mungkin menjejaskan masa depan sukan negara ini, teguran perlu di lakukan.

“Saya ingin memberi teguran atas rasa cinta kepada sukan negara kita, kalau boleh tolonglah jangan lagi menerima lantikan sebagai presiden atau pengerusi bagi persatuan-persatuan sukan sedia ada. Mungkin perkara ini nampak kecil tetapi implikasinya mungkin besar.

“Sedikit janggal kerana di negara maju sudah tiada ahli politik yang mengetuai sesuatu persatuan atau kelab di negara mereka dan saya rasa kita perlu mengikutinya,” kata beliau.

Syed Saddiq berpendapat campur tangan orang politik boleh mengganggu kaedah kementerian yang menggunakan langkah merit serta pencapaian dalam menetapkan peruntukan kewangan kepada sesebuah persatuan kerana pihak kementerian perlu pastikan hanya persatuan sukan yang benar-benar layak saja menerima peruntukan.

“Terlalu besar implikasi jika kementerian campur tangan sebab itu tiada paksaan dari pihak kami, sebagai contoh saya kata saya keluarkan arahan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), besar kemungkinan FAM  atau pasukan bola sepak Malaysia tidak boleh mewakili Malaysia pada peringkat antarabangsa.

“Saya tidak mahu kita menerima nasib sama seperti jiran kita, Indonesia,  yang mana baru-baru ini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan sanctioning akibat daripada adanya campur tangan daripada kementerian mereka,” ujarnya lagi.

 

Foto : Facebook Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Sumber : Bernama