Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq melihat industri e-sport (e-sukan) negara mempunyai potensi besar dan perlu diperkasakan lagi.

Berkata dalam satu temuramah dengan Astro Awani semalam, antara langkah yang akan dilakukan adalah dengan menyediakan fasiliti lengkap untuk sukan ini.

“Kerajaan sangat komited dalam apa-apa program pembangunan belia termasuk e-games ini. Kelompok yang bermain e-games ini adalah kelompok yang besar iaitu mereka yang berumur dalam lingkungan 25 tahun ke bawah.

“Kerajaan akan membantu menyediakan latihan, elaun dan insfrastruktur untuk para pemain yang mewakili negara ke peringkat antarabangsa” tambahnya lagi.

Syed Saddiq turut menyangkal dakwaan bahawa e-sukan sebenarnya lebih menjurus ke arah gejala negatif seperti yang dilontarkan beberapa pihak.

“Sukan sekarang sudah berevolusi. Stigma buruk terhadap e-games harus dibuang. Kita perlu pandang ke hadapan. Kita sudah masuk ke fasa yang baru dan ia melibatkan esport”.

Pakatan Harapan sebelum ini telah menyenaraikan pemerkasaan e-sukan sebagai antara tawaran kepada anak muda bersempena PRU14 yang lalu.

Sebagai rekod, e-sukan telah pun diiktiraf oleh Majlis Sukan Negara menerusi pengenalan unit sukan elektronik  dalam badan tersebut.