Connect with:




Percaya serta yakin akan perkembangan sukan elektronik atau e-Sports yang mampu berkembang dengan pesat, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman menggesa semua penggiat e-Sports seluruh negara untuk memainkan peranan dalam menjadikan Malaysia sebagai hab utama e-Sports.

Syed Saddiq optimis sektor e-Sports bukan sekadar untuk melahirkan pemain-pemain muda berbakat tetapi beliau mahu acara ini dilihat dari sudut yang berbeza agar ianya mampu membuka mata orang ramai bahawa sukan ini mampu memacu pelbagai sektor lain di dalam negara.

“Pihak kerajaan memang mahu mempromosikan Malaysia sebagai hab di peringkat ASEAN. Ianya akan meliputi pelaburan besar ‘software’ atau kelengkapan e-Sports yang moden mampu membuatkan peminat e-Sports seluruh dunia untuk memilih Malaysia dahulu berbanding negara ASEAN lain,”

“Secara tidak langsung ianya akan meningkatkan jumlah pelancong yang datang ke Malaysia untuk memeriahkan kejohanan e-Sports yang dianjurkan dan ianya memberi keuntungan buat sektor pelancongan juga,” katanya yang ditemui sejurus selepas sidang media Kejohanan Kuala Lumpur Major (Dota 2) di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat.

Kejohanan Kuala Lumpur Major Dota 2 yang berlangsung di Axiata Arena bermula 16 hingga 18 November itu merupakan pertandingan terbesar yang julung kalinya diadakan di ibu kota ini.

Jelas Syed Saddiq lagi, sambutan serta kehadiran yang diterima pada kejohanan itu sangat memberansangkan dan ianya membuktikan e-Sports merupakan pilihan semua golongan.

“Ini kali pertama dan ingin saya tegaskan bukan kali terakhir. Kami akan bawa lebih banyak pertandingan e-Sports peringkat antarabangsa ke Malaysia.

“Harus, kita harus bawa lebih banyak pertandingan e-Sports peringkat antarbangsa ke sini kerana ianya bukan saja menarik penggemar e-Sports dalam negara malah kita juga mampu menarik penyertaan dari luar negara selain ianya membantu mempromosikan golongan muda di peringkat ASEAN,” ujarnya.

Untuk berkembang dengan lebih pesat serta maju, Syed Saddiq memberitahu beberapa langkah perlu diambil pihak yang berkenaan.

“Kita perlu perluaskan hubungan strategik dengan syarikat-syarikat yang sedia ada agar boleh menaja para atlet dan mengembangkan ekosistem e-Sports di negara ini.

“Semua pihak berkenaan harus pastikan perkembangan e-Sports bukan hanya tertumpu Lembah Klang tetapi ianya perlu dikembangkan ke seluruh daerah di peringkat akar umbi.

“Dan terakhir sekali persatuan e-Sports seluruh negara berada dibawah kendalian dan penyeliaan komuniti yang terlibat dalam bidang ini,” jelasnya lagi.

Untuk rekod Kejohanan Kuala Lumpur Major Dota 2 yang berlangsung di Axiata Arena itu menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM4.15 juta yang bakal direbut 16 pasukan bertanding bagi mengesahkan gelaran juara siri pertama Kejohanan Sirkit Dota Pro tahun ini.