Connect with:




Memasuki tahun 2020, memakai hijab bukan lagi masalah besar untuk wanita lebih fokus secara serius dalam aktiviti bersukan. Terdapat banyak produk yang dikeluarkan dari pelbagai jenis jenama untuk memenuhi pasaran dan kehendak pelanggan yang terdiri daripada wanita Muslim.

Salah satu jenama yang dikenali dalam mengeluarkan hijab sukan ialah Capsters yang merupakan jenama hijab sukan pertama di dunia. Capsters diadakan oleh Cindy van den Bremen, seorang pereka fesyen Belanda yang menghasilkan hijab sukan pertama pada tahun 1999 sewaktu masih berada di kolej. Ia bermula dengan satu kes murid di Belanda yang tidak dibenarkan bersukan menggunakan hijab selepas dikatakan tidak selamat.

Atas perasaan kasihan, Cindy telah merekabentuk suatu hijab khas menggunakan fabrik yang sesuai dan tidak berpin untuk tesis akademik beliau di Design Academy Eindhoven. Ini telah mendapat perhatian ramai dan pesanan khas mula masuk dari serata dunia.

Capsters kemudiannya telah memenangi Good Design Award di Jepun pada tahun 2002 dan dipamerkan sebagai koleksi tetap di Museum of Modern Art (MoMA), New York semenjak 2005. Pada tahun 2012, Capsters telah berkolaborasi bersama Putera Jordan, Ali bin Al Hussein, untuk membatalkan larangan hijab oleh FIFA. Capsters Football telah direkabentuk khas dan diiktiraf oleh FIFA.

Empat tahun selepas itu, Capsters telah bersama-sama menyokong usaha atlet bola keranjang professional seperti Indira Kajlo dan Asma el Badawi untuk FIBA menamatkan larangan hijab. Produk hijab sukan Capsters kini dijual di 16 negara seluruh dunia termasuk di Eropah, Asia Tenggara, Amerika Utara, Afrika dan Australia.

Baru-baru ini, Capsters mengumumkan pengambilalihan oleh Syarikat Malaysia iaitu Innovacia Sdn Bhd sebuah syarikat yang berteraskan teknologi.

Pengambilalihan ini dijangka terus merancakkan pasaran hijab sukan di seluruh dunia dengan Capsters berharap dapat terus menghasilkan produk inovatif dan berkembang menjadi suatu jenama Malaysia bertaraf global.