Peminat bola sepak di Negeri Sembilan kini mempunyai alternatif lain untuk berinteraksi antara satu sama lain. Arus teknologi yang berubah saban hari membolehkan mereka berhubung di dunia alam maya. Justeru itu, Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan(n9futbol) kini telah melancarkan satu alternatif baru buat peminat bola sepak Negeri Sembilan dengan pelancaran radio web “Syapalikh FM : Radio Kito Lopak Kito”.

Beroperasi setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 2 pagi, nama “Syapalikh” pasti menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat di luar Negeri
Sembilan. Walau bagaimanapun, ianya tidak menjadi penghalang kepada para penyampai radio untuk menyampaikan informasi tentang pasukan bola sepak “Hoben Jang Hoben” dengan tepat dan mutakhir.

Menurut Timbalan Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (n9futbol), Pak Joe, berikut merupakan faktor utama penubuhan radio web ini.

“Niatnya mudah sahaja, iaitu mendekatkan peminat bola sepak di negeri ini dengan pasukan Negeri Sembilan. Selaras dengan perubahan teknologi, kami juga tidak ingin ketinggalan dan kami ingin menggunakan sepenuhnya peluang yang ada. Begitulah juga tertubuhnya kelab ini (n9futbol) yang berpaksikan alam maya. Mengenai perkataan “Syapalikh”, perkataan tersebut diambil daripada bahasa daerah di Negeri Sembilan. Persoalan mengenai apakah maksudnya, biarlah peminat kaji sendiri.”

Pak Joe juga memberitahu bahawa radio web ini dikendalikan oleh sukarelawan daripada kelab itu sendiri.

“Premis salah seorang daripada tenaga kerja yang terletak di Kuala Pilah kami dijadikan sebagai tempat konti radio web ini. Radio web ini
dikendalikan oleh 3 penyampai radio utama kami iaitu DJ Edy (penggerak utama radio), DJ Al Fath, dan DJ Zarol. Radio ini bersiaran pada setiap hari. Cuma adakalanya penyampai radio ada sedikit masalah, maka kami tidak akan bersiaran. Mengikut perancangan kelab, kami ingin memiliki web TV terlebih dahulu, namun melihat kepada keadaan ekonomi sekarang, pilihan radio web lebih ekonomikal. Tambahan pula, tenaga kerja bekerja secara sukarela. Kami sangat beruntung kerana memiliki tenaga kerja yang mahir dan sanggup bekerja secara sukarela atas
dasar minat. Sesiapa yang berminat untuk menyertai kami juga sedang dicari.”

Secara berseloroh beliau berkata,”Teringin juga kami untuk menjadi seperti kelab-kelab besar di Eropah yang memiliki radio web dan web TV
mereka yang tersendiri, boleh kita bersaing.”

Radio web yang berumur sebulan ini juga telah menjalankan aktivitinya bersama peminat-peminat pasukan bola sepak Negeri Sembilan.

“Pelbagai aktiviti telah diadakan, seperti pemberian cenderahati bagi pemenang kuiz, pemberian tiket perlawanan dan sebagainya. Secara tidak
langsung, para pendengar boleh bersuai kenal dengan penyampai radio. Mujurlah kami didatangi pihak usahawan yang ingin menaja segmen ketika kami bersiaran, hal ini sedikit sebanyak memberi kami semangat untuk terus mengadakan aktiviti yang selaras dengan aktiviti kelab.”

Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan(n9futbol) merupakan salah satu kelab penyokong skuad bola sepak negeri yang terbesar dengan jumlah pengikut di laman Facebook mencecah 40 ribu.

Untuk mendengar radio web “Syapalikh FM:Radio Kito Lopak Kito”, sila layari laman web Syapalikh FM, www.syapalikhfm.net atau
membuat carian “syapalikhfm” di laman Facebook.