Connect with:




Aksi separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok bertemu Thailand Rabu ini pastinya menjanjikan perlawanan berintensiti tinggi buat pasukan Harimau Malaya.

Meskipun sekadar seri 0-0 di Bukit Jalil, Sabtu lalu, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu bagaimanapun mempamerkan aksi penuh berkeyakinan dan  jika dilihat berdasarkan persembahan Sabtu lalu, Malaysia masih berpeluang menempah slot di pentas akhir.

Justeru, pemain tengah skuad kebangsaan, Syamer Kutty Abba mengingatkan rakan sepasukan agar berwaspada dengan ancaman Thailand yang bakal beraksi di kubu kuat mereka.

Menurut Syamer, beliau yakin skuad Gajah Perang itu pasti akan mempamerkan kekuatan sebenar apabila beraksi di gelanggang keramat mereka itu nanti.

“Kita menguasai permainan dengan baik pada perlawanan pertama, mencipta banyak peluang cuma kita gagal terjemahkan peluang itu kepada gol dan pastinya satu perlawanan sukar menanti kita di Bangkok nanti.

“Kami akan bermain cara permainan sama tapi kami tetap kena berhati-hati, kita tidak tahu apa yang bakal ditempuhi di sana. Saya yakin kita boleh lakukan dan Insya Allah mampu mendapatkan keputusan positif,” katanya.

Syamer yang di awal kejohanan mendapat kritikan setiap kali mengemudi jentera tengah Harimau Malaya berjaya membalas segala kritikan dengan memperagakan aksi lebih baik ketika bertemu Thailand yang menyaksikan beliau dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Gandingan pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bersama dengan Akram Mahinan berjaya membentuk kombinasi baik di jentera tengah bagi menyekat kemaraan Thailand selain turut terlibat dalam melancarkan serangan untuk pasukan negara.

Malaysia, juara 2010 berpeluang mara ke final buat kali keempat menerusi format gol ditempat lawan dan sekurang-kurangnya keputusan seri 1-1 sudah memadai untuk membawa Malaysia ke pentas akhir.

Namun begitu, ledakan 15 gol sepanjang kempen AFF 2018 berserta rekod baik Thailand di laman sendiri pastinya sedikit sebanyak memberikan kelebihan  psikologi buat musuh Harimau Malaya itu.

“Kita tak lepaskan gol, itu kelebihan yang kita miliki dan jika dapat menjaringkan gol di sana pasti itu akan menyukarkan mereka nanti dan setiap peluang yang ada harus dimanfaatkan,” jelasnya lagi.

 

Foto : Facebook Malaysia Football Association

Sumber : Bernama