Pemenang Acara Individu

 

Aksi sengit dan menarik yang ditunjukkan peserta telah memeriahkan Kejohanan Swashbucklers Fencing Duel 2012 yang berlangsung di Pusat Sukan Kolej TAR pada 27 dan 28 Oktober yang lalu. Kejohanan yang diperkenalkan sejak tahun 2008 ini turut menghimpunkan penyertaan dari negara luar seperti Indonesia, Singapura, Australia dan Thailand.

Bagi pengerusi kejohanan, Annie Foo, peningkatan penyertaan sebanyak 50% ini sememangnya telah meningkatkan lagi mutu persaingan dan kejohanan. Annie turut berterimakasih kepada rakan penaja serta penganjur bersama Kolej TAR yang membantu mereka dalam penganjuran yang memasuki edisi ke-5 ini.

“Kerjasama yang diberikan pelajar-pelajar Sains Sukan Kolej TAR berjaya membuatkan kejohanan ini berjalan dengan lancar. Rata-rata peserta terutamanya dari luar negara sangat berpuashati dengan kelancaran acara yang berlangsung selama 2 hari ini” jelas Annie yang juga merupakan bekas atlit lawan pedang kebangsaan.

6 acara perseorangan dan 2 acara berpasukan dipertandingkan dalan kejohanan kali ini. Ryan Tan dari pasukan Fencing Master yang berpengkalan di Singapura berjaya memenangi kategori bawah 9 tahun manakala Julia Loh dari Jung Fencing Academy mengungguli kategori bawah 11 tahun. Kategori bawah 14 tahun pula dimenangi Mohd Isa Tarmizi dari pasukan Swashbucklers Fencing Club (SWF) untuk kategori lelaki serta Esther Lai dari Z-Fencing untuk kategori perempuan.

Gabor Kolczonay Kuasai Acara Lelaki Terbuka

 

Acara utama menyaksikan penguasaan peserta dari luar negara. Gabor Kolczonay dari Z-Fencing serta wakil pasukan Modern Fencing, Karpova Anastasia masing-masing memenangi kategori terbuka lelaki dan terbuka wanita.

Wakil Malaysia bagaimanapun menebus kehampaan selepas SWF menjuarai acara berpasukan campuran yang menyaksikan atlit pelapis negara, Bill Chee membantu pasukannya menerusi aksi menakjubkan pada perlawanan akhir menewaskan Fencing Master. Acara berpasukan campuran bawah 12 tahun pula dimenangi Fencing Master.

Bill Chee dari SWF Tebus Kehampaan Malaysia

 

“Kejohanan ini diharap dapat menggalakkan lagi minat orang ramai untuk mendalami sukan lawan pedang ini kerana ianya satu sukan yang sangat menarik dan mencabar serta yang paling penting, selamat untuk dimainkan” kata Annie menutup perbualan.

Kepada yang berminat untuk menyertai kelas latihan lawan pedang anjuran Swashbuckler Fencing Club, sila layari laman web www.fencing4all.com