Aksi penyerang tempatan bakal teruji semula musim 2012 dengan kehadiran kira-kira 26 pemain import ke Liga Malaysia. Sesetengah pasukan pasti akan cenderung mengerah sepenuh tenaga pemain import sahaja dan mungkin akan meminggirkan pemain tempatan terutamanya pemain muda.

Pasti ramai bersetuju, masalah skuad kebangsaan kita sejak beberapa tahun ini adalah ketumpulan penyerang. Kita tiada penyerang yang benar-benar berkualiti seperti satu masa dahulu. Walaupun Liga Malaysia sebelum ini tiada import untuk tempoh beberapa tahun, tiada perkembangan positif di bahagian serangan skuad kebangsaan.

Jadi, setelah pintu pemain import dibuka semula kini, adakah ini akan membantu penyerang tempatan atau akan menjadi ‘duri dalam daging’ seterusnya tidak memberi sebarang kesan di posisi serangan skuad kebangsaan?

Dengan rata-rata pasukan mengambil import di posisi penyerang, peluang dan ruang buat penyerang tempatan untuk beraksi kelihatan semakin sempit. Pasukan pastinya akan memilih menurunkan import berbanding penyerang tempatan agar pasukan beroleh kemenangan demi kemenangan dan penyokong akan mula kembali memenuhi stadium.

Namun, pemain tempatan perlu mengambil ini sebagai satu cabaran untuk memperbaiki diri disamping belajar sesuatu dari pemain-pemain import ini. Mereka juga perlu memberi saingan perebutan tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Bagi bekas penolong jurulatih Harimau Muda A, Azman Haji Eusoff, 48, dia tidak menafikan kehadiran penyerang import bakal menggugat penampilan penyerang muda dan baru. Menurutnya, pasukan pasti akan meletakkan harapan yang tinggi kepada penyerang import untuk mendapatkan gol.

“Namun itu bukan faktor keseluruhan kerana pemain tempatan juga boleh berperanan sebagai peledak utama jika diberi peranan yang sama,” ulas Azman lagi.

Setakat ini, cuma Indra Putra Mahayuddin pada tahun 2004 yang pernah membuktikan dia boleh menyerlah walaupun ketika itu pemain-pemain import menguasai Liga Malaysia. Dia yang beraksi untuk Pahang ketika itu menjaringkan 15 gol sekaligus menjadi penjaring terbanyak mengatasi Frank Seator (14 gol) dari Perak dan Gustavo Fuentes (11 gol) dari Public Bank FC.

Tahun-tahun berikutnya didominasi penyerang import lantas menyebabkan penyerang tempatan tenggelam timbul dalam kemeriahan Liga Malaysia ketika itu. Penjaring terbanyak musim 2005 adalah Julio Cesar Rodrigues dari Sabah dan Zacharia Simukonda dari Perlis dengan 18 gol, 2006-Keita Mandjou (Perak,17), 2007-Keita Mandjou (Perak, 21) dan 2008-Marlon Alex James (Kedah, 23 gol).

Jika diimbas tahun 2008, tahun terakhir khidmat pemain import dibenarkan, Khalid Jamlus berjaya menempatkan diri dikalangan lima penjaring terbanyak dengan 13 golnya bersama pasukan Perak.  Manakala Safee Sali (Selangor) dan Zaquan Adha (Negeri Sembilan) pula berkongsi kedudukan dalam 10 penjaring terbanyak dengan jumlah 11 jaringan.

Ketika ditanya mengenai keperluan penyerang muda negara untuk keluar dari kepompong Liga Malaysia bagi membentuk permainan yang lebih berbisa, Azman amat bersetuju.

“Pemain muda negara harus berani menerima cabaran di luar negara. Penghijrahan pemain ke luar akan memberi keyakinan yang lebih tinggi kepada mana-mana pemain,” katanya lagi yang pernah mengendalikan kelab luar negara Dhong Tham FC (Vietnam) dan DPMM FC (Brunei).

Mengulas semula mengenai kehadiran pemain import ke Liga Malaysia, Azman Haji Eusoff menyatakan kemeriahan Liga Malaysia pasti akan dirasai semula. Ini kerana, bagi Azman, kehadiran pemain import ke dalam mana-mana liga sekalipun pasti akan memberi impak yang tersendiri.

Ketika diminta memilih penyerang tempatan yang mampu menyinar dalam Liga Malaysia musim depan, Azman menyebut dua nama iaitu Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan) dan Ahmad Shakir Ali (Negeri Sembilan).

Pembuka tirai Liga Malaysia Sabtu ini akan menemukan dua pemain tersebut, dimana Kelantan akan bertemu Negeri Sembilan dalam aksi Piala Sumbangsih dan dari sini, mungkin kita sudah boleh mula menilai bagaimanakah survival penyerang tempatan untuk musim 2012.