Festival Luncur Ais terbesar di Malaysia, Skate Malaysia kembali lagi di Sunway Pyramid dengan penyertaan 8 pasukan merangkumi seramai 222 orang peserta.

Antara pasukan yang menyertai kejohanan yang memasuki edisi kesebelas ini ialah Sunway Pyramid Ice dan Iceskape Rink IOI dari Malaysia, Bintaro Jaya (Indonesia), Sub Zero Ice Skating (Thailand), Future Bright Ice Rink (Macau), Ice Park Rink (Kemboba), Taipei Ice Skating Institute (Taiwan) dan Ice Skating Institute of Asia yang mewakili peserta peserta antarabangsa.

Acara perasmian telah diadakan pada Khamis di Sunway Ice Rink yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Sunway Mall; Kevin Tan dan Pengarah Eksekutif ISI Asia; Alex Yeung.

“Sebagai pelopor sukan luncur ais di Malaysia, Sunway sangat berbangga untuk terlibat dalam acara antarabangsa seperti ini” kata Kevin Tan.

“Gelanggang ais di Sunway Pyramid telah melahirkan ramai bakat-bakat hebat termasuk Julian Yee yang kini telah mewakili Malaysia.

“Kami pasti akan ada lebih ramai Julian Yee dilahirkan menerusi acara skate Malaysia ini” jelas Kevin.

Mula dianjurkan pada 1999, Skate Malaysia tahun ini turut dipilih sebagai sirkit bagi siri Kejuaraan ISI Asia untuk tahun kedua berturut-turut.

Selain acara figure skating, terdapat beberapa acara lain seperti freestyle skating, rhythmic skating dan banyak lagi.

Kepada yang berminat melihat aksi luncur ais berirama, jangan lupa hadir ke Skate Malaysia yang berlangsung dari 29 Jun hingga 2 Julai.