Connect with:




Pemain naturalisasi Pahang, Mohamadou Sumareh memberitahu dia bersedia untuk menyarung jersi kebangsaan selepas menerima lampu hijau dari FAM.

Pemain kelahiran Gambia berusia 23 tahun itu berkata dia kini menjadi warganegara Malaysia dan hanya menunggu panggilan untuk menjalankan tugas negara.

“Ini satu perkara yang baik buat saya jika FAM memberi saya lampu hijau untuk menyertai pasukan kebangsaan. Sudah tentu saya sudah bersedia.

“Sekiranya mereka (jurulatih kebangsaan) bertanya kepada saya, saya akan memberitahu saya sudah bersedia,” katanya.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata berdasarkan kepada peraturan FIFA, mana-mana pemain yang telah tinggal di negara selama lebih daripada lima tahun dan memegang pasport antarabangsa, layak menyertai pasukan kebangsaan.

Sementara itu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata dia menyokong keputusan pemain berdedikasi itu untuk menyertai pasukan kebangsaan.

“Saya harap perkara itu menjadi kenyataan buat Sumareh yang dapat membantu memperkuatkan skuad kebangsaan,” kata Dollah, yang merupakan salah seorang penyerang terbaik kebangsaan pada 1980-an.