Connect with:




Tidak lama lagi peminat bola sepak Malaysia bakal menyaksikan Sumareh 2.0 membantu skuad kebangsaan yang dikatakan kritikal bagi posisi penyerang ketika ini. Sumareh 2.0 ini dimaksudkan pemain kedua yang akan mendapat kerakyatan Malaysia melalui naturalisasi, pemain tersebut adalah Michael Ijezie Chukwubunna yang bermain bersama UKM FC.

Michael Ijezie muncul sebagai penjaring terbanyak saingan Piala Cabaran 2018 dengan 13 gol dan sudah lama bermain di Liga Malaysia sejak 2012 lagi serta telah berkhawin dengan wanita berasal dari Sarawak.

Pemain berasal dari Nigeria  berusia 32 tahun itu telah berjaya membantu UKM FC muncul naib juara Piala Cabaran 2018 serta menjaringkan 17 gol dalam 19 penampilan bersama UKM FC musim lalu.

Laporan yang dikeluarkan Berita Harian menyatakan Michael Ijezie kian hampir menjadi pemain naturalisasi negara apabila dokumen rasmi yang diperlukan oleh Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah lengkap dan telah berada dalam tangan badan induk itu.

Ini salah satu Program Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM yang dikenali F:30 dilihat sebagai perencanaan tepat dalam mensasarkan pasukan Malaysia menjadi lima terbaik Asia menjelang 2030.

Pengambilan Michael Ijezie merupakan perancangan jangka masa pendek sementara menunggu hasil daripada program akar umbi dan perlu jadi contoh kepada pemain lain terutamanya pemain muda.

Sebelum ini, pemain Pahang, Mohamadou Sumareh muncul sebagai pemain naturalisasi pertama negara serta impak yang diberikan kepada skuad negara amat memberi kesan positif.

Jika proses naturalisasi ini berjalan dengan lancar, ia sudah pasti memberi khabar gembira buat kem kebangsaan untuk merancang perjalanan menjelang kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste pada 6 dan 11 Jun depan.

Foto: UKM FC