Penerjun Olimpik, Pandelela Rinong menyalakan obor

 

Sukan di Malaysia membuka lembaran baru selepas buat julung-julung kalinya, Sukan Institut Pengajian Tinggi 2012 (SUKIPT) dibuka secara rasminya oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Sri Mohamed Khaled Nordin dalam satu acara pembukaan yang gilang gemilang.

Majlis perasmian yang berlangsung dengan penuh warna warni di Stadium UiTM Shah Alam ini turut dimeriahkan lagi dengan persembahan kebudayaan dan percikan bunga api. Turut memeriahkan suasana adalah kehadiran atlit dan bekas atlit yang membawa obor seperti Bryan Nickson Lomas, Elaine Teo, Zaiton Othman, Nazmizan Muhamad serta tidak ketinggalan Pandelela Rinong.

Bagi Pandelela yang kini bergelar pelajar IPT selepas mendaftar di Universiti Malaya, dia yakin SUKIPT anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini bakal menjadi paltform untuk mengetengahkan lagi bakat-bakat sukan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Di SUKIPT, bukan sahaja atlit kebangsaan boleh beraksi malahan atlit dari IPT juga dapat menonjolkan bakat mereka dan secara tidak langsung ia dapat melahirkan lebih ramai lagi atlit untuk negara pada masa akan datang” kata Pandelela yang ditemui media.

Sebanyak 101 kontingen mengambil bahagian dalam perbarisan yang turut disiarkan secara langsung di kaca televisyen. Acara turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan, Hazama.

Selaku penasihat SUKIPT, Dato’ Seri Khaled menegaskan penganjuran SUKIPT bertepatan dengan Dasar Pembangunan Sukan 2009  iaitu melahirkan lebih ramai thinking athletes di masa hadapan.

“Kita sedia maklum IPT merupakan lubuk dalam menghasilkan atlit-atlit bertaraf antarabangsa. Kita mahu perkara ini berterusan oleh itu langkah memberikan biasiswa kepada pemenang pingat emas ini pastinya dapat menggalakkan lagi penyertaan dari IPT yang bertanding” kata Khaled yang ditemui selepas acara tersebut berakhir.

“Selain itu, atlit yang cemerlang dalam SUKIPT edisi pertama ini juga berpeluang untuk mewakili negara pada Sukan Universiti Asean (AUG) di Laos, Disember nanti” tambah Khaled lagi.

SUKIPT 2012 akan berlangsung pada 28 Oktober hingga 11 November di sekitar Lembah Klang dengan menawarkan sebanyak 165 pingat emas untuk direbut kontingen bertanding.