Sesi taklimat SUKIPT 2012 sedang diadakan

 

Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Majlis-Majlis Sukan IPT bakal menganjurkan Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2012 pada 28 Oktober hingga 19 November ini dengan bertujuan memberi ruang yang lebih luas kepada atlit IPT untuk menyertai kejohanan sukan yang kompetetif.

Sehubungan itu, satu mesyuarat sekretariat dan taklimat kejohanan telah diadakan pada 4 September di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya. Antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyurarat ini adalah mengenai peraturan kejohanan serta pengenalan terhadap pendaftaran atlit secara online melalui laman web

Bagi Penyelaras Media Bahagian Sukan KPT, Nur Ekmal Buhary, laman web ini bukan sahaja bertujuan memudahkan proses pendaftaran setiap kontinjen malahan turut menjadi sumber maklumat utama kejohanan tersebut.

“Penggunaan teknologi media adalah sangat penting dalam penganjuran acara sukan jika dilihat berdasarkan Olimpik London baru-baru ini. Justeru itu, KPT akan mengambil langkah yang sama dengan sentiasa mengemaskini laman web rasmi SUKIPT untuk memudahkan atlit, media dan juga masyarakat mengetahui informasi terkini kejohanan” ujar Nur Ekmal ketika ditemui DuniaSukan.

Maskot Kejohanan SUKIPT 2012

 

Kejohanan yang akan diadakan di IPT sekitar Lembah Klang ini dijangka bakal menghimpunkan hampir 10 000 orang atlit, pegawai dan petugas dari 98 buah IPT untuk bertanding dalam 15 jenis sukan termasuk olahraga, renang, rugbi dan lain-lain.

Sebarang maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web rasmi kejohanan iaitu www.sukipt.com.my