Peserta bengkel bergambar bersama Setiausaha Bahagian Sukan KPT, Dr. Saharudin Haji Ismail

 

Menjelang Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2012, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semakin bersedia untuk menganjurkannya selepas mengadakan Bengkel Persediaan Sukarelawan Media & Publisiti SUKIPT di bilik seminar Hotel OCM, Kuala Lumpur.

Seramai 30 sukarelawan dari beberapa universiti tempatan telah dilatih dalam berurusan dengan media, penulisan berita sukan dan tidak ketinggalan fotografi sukan.

KPT komited dalam menyediakan kejohanan yang mesra media

 

Menurut Setiausaha Bahagian Sukan KPT, Dr. Saharudin Haji Ismail, penganjuran bengkel sebegini membuktikan KPT komited dalam menyediakan kejohanan yang mesra media sambil berharap publisiti kejohanan ini akan diperluas disegenap pelusuk negara.

“Kita mahu semua orang tahu mengenai SUKIPT. Oleh itu penganjuran bengkel sebegini dapat membantu kita dalam menyediakan tenaga kerja yang efisien terutamanya untuk aspek media dan publisiti” kata Dr. Saharudin yang ditemui selepas melawat bengkel tersebut.

Peserta berbincang mengenai tugasan yang diberikan

 

Rata-rata sukarelawan yang ditemui mengakui banyak input yang diperolehi dalam bengkel ini sambil menegaskan sudah bersedia untuk bertugaa menjelang SUKIPT nanti.

“Media dan publisiti adalah perkara baru bagi saya. Namun dengan penganjuran bengkel ini , saya semakin faham dan yakin untuk bertugas disamping menimba pengalaman membantu media nanti” ujar Hazwan Zikri, sukarelawan dari UiTM Shah Alam.

Nur Hafiqa Azwa dari UKM raih pengalaman berharga dalam penulisan sukan

 

Bagi Nur Hafiqa Azwa pula, dia kini semakin yakin dalam penulisan sukan yang merupakan perkara baru buat dirinya hasil dari penganjuran bengkel ini.

“Ini satu pengalaman berharga buat saya. Sukar untuk dapatkan pendedahan sebegini diluar sana. Oleh itu saya akan lakukan yang terbaik dalam menyediakan berita-berita SUKIPT ini nanti” kata Hafiqa dari UKM, Bangi.

SUKIPT yang julung-julung kali diadakan bakal bermula pada 28 Oktober hingga 11 November ini di venue venue terpilih disekitar Lembah Klang.