Gelanggang boling padang di Kompleks Sukan Bukit Kiara bakal diperbaharui selepas tiga tahun tidak digunakan.

Kerja-kerja naik taraf gelanggang tersebut bakal disiapkan sepenuhnya tidak lama lagi sebelum menjelangnya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Atlet negara bakal berpindah sepenuhnya ke gelanggang baru di Bukit Kiara bagi menggantikan tempat lama di Klang.

Tiga padang utama telah siap sepenuhnya dengan hanya menggunakan padang tiruan tanpa menggunakan perbelanjaan yang terlalu tinggi.

Menurut Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Wan Zawawi Wan Ismail, gelanggang tersebut bakal diuji sepenuhnya ketika Kejohanan Pra-Sukan SEA, 22 hingga 24 Julai ini.

“Pembangunan gelanggang boling padang, kami lihat mengikut jadual yang diberikan dan salah satu daripada padang tersebut boleh dijadikan tempat atlet berlatih,” katanya.

Masa yang sama juga, Wan Zawawi selaku naib presiden Persekutuan Boling Padang Asia memberitahu bahawa sukan boling padang ini boleh ditempatkan dalam Sukan Olimpik 2024 atau 2028.

“Kita perlu mendapatkan seberapa banyak penyertaan bagi menganjurkan sukan bertaraf tinggi seperti sukan olimpik.”

“Kebanyakkan negara Komanwel berminat untuk menyertai sukan boling padang ini, hampir 15 buah negara telah berminat untuk menyertai sukan ini,” katanya.