Amy Kwan Dict Weng, atlet Gimrama negara kembali beraksi di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas dua tahun berehat akibat kecederaan yang dialami pada tahun 2014.

Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland itu memberitahu tahap keyakinannya semakin memuncak dan bersedia untuk menggalas misi negara pada KL2017 yang berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos ini.

“Saya terpaksa direhatkan daripada sebarang perlawanan selepas menjalani pembedahan pada September dan November 2014 selepas pulang dari Glasgow.

“Pada ketika itu saya tidak dapat kembali kerana tahap kecergasan saya masih belum capai ke tahap terbaik sekaligus membuatkan saya gagal untuk menempatkan diri di dalam senarai akhir pasukan.

“Kini saya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran di Sukan SEA dan ingin memberikan persembahan yang terbaik di hadapan rakyat Malaysia nanti,” Katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Walaupun bersemangat untuk menyumbangkan pingat dan membantu negara bagi meraih juara keseluruhan, namun tekanan tetap dirasai oleh Amy.

Ketika Sukan SEA 2015 di Singapura berlangsung pasukan gimrama negara berjaya merangkul dua pingat emas dan satu perak.