Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) yakin atlet kebangsaan mampu meraih emas pada temasya sukan SEA 2017.

Setiausaha Agungnya, William Kong berkata, atlet wushu negara perlu mengurangkan kesilapan jika ingin muncul juara.

“Sasaran empat pingat emas telah ditetapkan untuk atlet wushu negara pada sukan SEA tahun ini.

“Kami yakin bahawa mereka mampu meraih lebih emas jika mereka tidak melakukan kesilapan dan memperbaiki teknik yang digunakan.

“Jika dilihat wushu merupakan sukan yang subjektif kerana setiap persembahan yang dipertandingkan amat penting bagi menentukan pemenang.

“Tergelincir saat mengadakan persembahan boleh meyebabkan kekalahan.

“Pencabar terhebat pasukan Malaysia ketika ini ialah Indonesia dan Vietnam.

“Sejujurnya kami hanya menyasarkan empat emas pada sukan SEA kali ini. Tetapi

tidak dinafikan jika ramai atlet kami mampu meraih emas,” katanya.

Pada sukan SEA edisi Singapura yang lalu, pasukan Malaysia telah membawa dua emas, tiga perak dan empat gangsa.

Melalui pencapaian yang dimiliki oleh mereka kini pasukan Malaysia mempunyai lebih pengalaman dan mampu mengatasi pencapaian terbaik mereka dengan meraih enam emas, dua perak dan lima gangsa sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah sukan SEA pada 2001.

Menurut Kong, pasukan Malaysia kini sedang menjalani latihan di Fuzhou, China sejak awal bulan ini sehingga 4 Julai.