Sebagai salah satu persiapan hadapi krisis dan ancaman sepanjang penganjuran edisi ke-29 Sukan SEA 2017, 282 pegawai dan anggota pelbagai unit telah terlibat dalam latihan amal Ex-Rimau 2017.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, latihan ini dilangsungkan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan (PLPLK), yang merangkumi senario mengenai serangan pengganas, letupan bom, runtuhan bangunan dan mangsa terperangkap.

Tambahnya, latihan seperti ini dijalankan bagi menguji ketangkasan perancangan dan tindakan polis ketika berlakunya sesuatu ancaman melibatkan keselamatan.

“Bukan sahaja ingin menguji pelan tindak balas, bahkan juga latihan ini dijadikan salah satu peranan dan tugas komander briged sebagai Ketua Pasukan Tindakan krisis (CRT),” katanya.

Asri juga berkata, latihan ini dilakukan sebanyak lima siri, ianya membabitkan beberapa lokasi seperti Stadium bukit Jalil, masjid KLCC dan International Park (TIEP), Setiu, Terengganu.

Latihan yang dijalankan ini membabitkan Unit Pemusnah Bom, Pasukan 69 Komando (VAT69), Unit Tindakan Khas (UTK), Pasukan Gerakan Udara, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin, Pasukan Polis Simpanan dan juga Jabatan Siasatan Jenayah.