Apakah pingat emas Olimpik pertama negara bakal diperoleh menerusi acara e-Sports?

Ia tidak lagi mustahil selepas penganjur pada tahun 2024 iaitu Paris berkemungkinan akan
menyenaraikan acara tersebut di temasya sukan terbesar dunia itu.

Tony Estanguet – Presiden bersama jawatankuasa penganjur Paris 2024 berkata, “E-sport kini menjadi kegemaran anak muda di seluruh dunia.

“Kami tidak mahu terus mengatakan tidak dan menutup pintu buat acara e-sport untuk disenaraikan. Apa yang penting ketika ini adalah membawa Jawatakuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memahami bagaimana e-sport itu sendiri” katanya dipetik dari The Guardian.

Sementara itu, Kim Jun Jin, pengasas Fire Dragoon iaitu satu pasukan e-sports terkemuka di Malaysia, beliau teruja dengan perkhabaran ini.

“Jika benar e-sports disenaraikan dalam Sukan Olimpik 2024, ia satu perkara yang cukup menggembirakan untuk semua yang terlibat dengan sukan ini di Malaysia.

“Saya pasti ia akan memberi suntikan semangat dan meningkatkan motivasi kepada semua pemain e-sports di Malaysia” kata Jun Jin.

Malah, beliau yakin tidak mustahil atlet e-sports Malaysia mampu membutirkan pingat emas dan bukannya sekadar menghantar penyertaan semata-mata.

“Banyak pasukan dari Malaysia telah menjuarai kejohanan-kejohanan besar termasuk di luar negara. Malaysia ada ramai pemain berbakat.

“Ianya sukar untuk digambarkan berapa pingat emas yang mampu diperoleh memandangkan acara belum ditentukan tetapi sekiranya layak ke peringkat olimpik, itu sudah cukup membanggakan Malaysia”

Sebelum ini, Jawatankuasa penganjur Sukan Asia 2022 di China telah menyenaraikan e-sports dalam temasya tersebut. Antara jenis permainan yang dijangka akan dimasukkan ialah FIFA, Moba (Multiplayer Online Battle Arena) dan RTA (Real Time Attack).