Connect with:




Pernahkah anda mendengar atau pernah bermain sukan chinlone? Tapi apa itu sukan chinlone? Chinlone merupakan sukan yang berasal dari Myanmar. Sukan chinlone mula diperkenalkan sebagai sukan rasmi di Sukan Asia Tenggara (SEA) pada Sukan SEA Myanmar pada tahun 2013. Mesti ramai yang masih tidak tahu tentang sukan ini kan?

Malah sukan chinlone juga turut dipertandingkan di Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017 malah sukan ini telah berjaya menghadiahkan emas pertama Malaysia di sukan SEA 2017.

Sukan Chinlone hadiahkan emas pertama Malaysia dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Apa-apa pun sebelum pergi lebih lanjut, sukan chinlone ini merupakan sukan tradisional Myanmar juga dikenali sebagai caneball iaitu permainan sepak raga bulat. Chinlone telah memainkan peranan penting di Myanmar selama kira-kira 1,500 tahun lalu. Gayanya permainannya sangat berasaskan prestasi kerana ia mula-mula dicipta sebagai cara menghiburkan royalti Burma pada ketika itu.

Ia dimainkan hampir sama dengan sepak raga tetapi mempunyai perbezaan teknik sepakan dan bola yang digunakan. Setiap pasukan mempunyai enam pemain dalam satu bulatan. Bola yang digunakan dalam sukan ini biasanya dibuat dari rotan tangan rumbai, apabila disepak ia akan mengeluarkan bunyi seperti bakul. Malah bola chinlone bersaiz lebih besar daripada bola takraw yang biasa.

Bola Chinlone

Memandangkan ia adalah permainan lama, banyak variasi telah dibuat kepadanya, termasuk beratus-ratus cara yang berbeza atau bergerak yang digunakan apabila menggerakkan bola. Sehinggalah gaya permainan serta peraturan seperti yang kita lihat pada hari ini.

Permainan ini juga merupakan kombinasi sukan dan tarian kerana permainan ini tidak mempunyai pihak lawan seperti melakukan persembahan tetapi setiap pemain dalam pasukan akan menunjukkan kemahiran menimbang bola mengikut disiplin berdasarkan kategori.

Manakala untuk membuat kiraan mata pula akan dikira menerusi setiap timbangan sempurna oleh setiap pemain dalam masa 10 minit. Jika bola tersebut jatuh, permainan akan dimulakan semula. Terdapat empat kategori yang dipertandingkan pada Sukan SEA iaitu non-repetition event (primary), same stroke event, linking event dan non-repetition event (secondary).

Pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang lalu, pemain Malaysia yang diwakili oleh Muhammad Faiz Roslan, Ab Muhaimi Che Bongsu, Mohammad Kamal Aizzat Azmi, Izuan Affendi Azlan, Iskandar Zulkarnain Salim, Putera Aidil Israfil Kamaruzaman, Mohamad Azlan Alias dan Muhammad Zaim Razali berjaya meraih pingat emas dan lebih manis ia adalah pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan SEA 2017.

Golongan lelaki Myanmar menjadikan chinlone sebagai permainan pada waktu petang di Ywama, Inle Lake, Myanmar

Oleh kerana, chinlone ini berasal dari Myanmar, maka tidak hairanlah Myanmar menjadi kuasa besar sukan ini. Ketika pertama kali diperkenalkan dalam Sukan SEA 2013 di Myanmar, Chinlone mejadi acara pembuka tirai Sukan SEA yang ke-27 itu. Myanmar berjaya merangkul enam pingat emas dalam sukan ini manakala Malaysia hanya membawa pulang pingat gangsa dari pasukan lelaki dan wanita.

Foto: Sukan SEA KL 2017