Connect with:




Selepas kejayaan negara dalam penganjuran Sukan Komanwel 1998 dan beberapa kali menjadi tuan rumah Sukan SEA, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mencadangkan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan hasrat menjadi tuan rumah Sukan Asia 2030.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan cadangan berkenaan memandangkan anggota negara ASEAN iaitu Thailand dan Indonesia pernah menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar rantau Asia itu.

Untuk rekod, Thailand menjadi tuan rumah Sukan Asia pada 1966, 1970, 1978 dan 1998, manakala Indonesia pada tahun 1962 dan 2018.

“Saya sudah mencadangkan kepada KBS supaya kerajaan dapat menimbang cadangan ini untuk menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan Asia 2030 kerana kita sudah mempunyai kemudahan dan infrastruktur yang baik.

“Saya rasa sudah tiba masanya kita menjadi tuan rumah kepada suan kedua terbesar di dunia ini dan berharap KBS membawa cadangan ini ke peringkat lebih atas,” jelasnya.

Norza berkata pihaknya telah mendapat makluman menerusi mesyuarat Majlis Olimpik Asia (OCA) di Bangkok pada awal bulan ini bahawa bidaan Sukan Asia masih terbuka.

Selepas ini, Sukan Asia 2022 bakal diadakan di Huangzhou, China manakala temasya 2026 akan berlansung di Nagoya, Jepun.

“Malaysia telah berjaya dalam menganjurkan Sukan Komanwel 1998 dan terbaru Sukan SEA 2017. Malaysia telah mempunyai kemudahan bertaraf dunia dan mempunyai pakar dalam penganjuran temasya sebesar ini.

“Dalam masa yang sama juga kita dapat meningkatkan persiapan dan kebolehan atlet untuk ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Untuk rekod setakat ini, India dan Filipina yang turut menyatakan hasrat berminat untuk membida penganjuran Sukan Asia 2030. – BERNAMA

Foto : BERNAMA