Connect with:




Aksi lebih hebat dijanjikan ATM Guardians ketika turun bertemu Kelantan Warriors dalam aksi Liga Sepak Takraw 2018 (STL 2018) di Gem In Mall, Cyberjaya, petang ini bagi terus memberi tekanan kepada Penang Black Panthers yang tiada masalah menjinakkan Johor Tigris 2-0, malam tadi.

Bakal mengembalikan apit kanan berpengalaman, Khairudin Adenan yang sebelum ini direhatkan  untuk bergandingan bersama tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir dan Norfaizzul Abdul Razak, ATM Guardians yang masih segar dengan kemenangan bergaya 2-0 keatas PDRM Defenders nyata bersedia menjanjikan aksi memukau.

Enggan pemainnya terlalu memikirkan prestasi pasukan lain yang bertanding, ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah sebaliknya mahu anak buah beliau memberi sepenuh fokus  terhadap aksi serta strategi yang bakal dipraktikkan.

“Tidak perlu terlalu memikirkan prestasi dan keputusan pasukan lain. Sebaliknya, beri tumpuan serta fokus penuh terhadap aksi sendiri yang bakal kita hadapi.

“Pasukan yang akan kami tentang (Kelantan Warriors) dibarisi pemain yang memiliki semangat juang tinggi dan saya harap satu pertembungan epik bakal dipersembahkan kedua-dua pasukan petang ini,” katanya.

Ketika diajukan soalan mengenai kekuatan yang dimiliki barisan Kelantan Warriors, Aswadi berpendapat tunjang kekuatan skuad bimbingan Mohd Rozlan Ismail itu adalah kualiti serta pengalaman yang dimiliki barisan pemain mereka.

“Dua tekong (Farid Aziz dan Hisyam Mat) sedang meningkat naik yang dimiliki mereka (Kelantan Warriors) disertakan kemampuan kapten pasukan, Aidil Aiman Zawawi dan sentuhan pelibas berpengalaman, Yuslie Jusoh, mereka pasti mahu menebus kekalahan dalam pusingan pertama bertemu kami.

“Saya jangkakan satu pertemuan yang sengit bakal disajikan dan ianya sudah tentu pertembungan yang mencabar buat kami,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu ketua jurulatih Kelantan Warriors, Mohd Rozlan melaungkan keyakinan barisan pemainnya enggan memberi laluan mudah buat ATM Guardians.

“Kami akan memberikan aksi penuh bersemangat bagi melakukan kejutan serta kembali bersaing mendaki carta STL.

“Saya yakin pasukan kami (Kelantan Warriors) tidak mudah goyang serta enggan tewas meskipun bakal menerima tentangan sebuah pasukan mantap seperti ATM Guardians,” jelasnya.

Sebagai rekod, ATM Guardians kini menghuni tangga kedua liga dengan 24 mata sementara Kelantan Warriors berada di tempat keempat setelah merekodkan lapan kemenangan dan berhasil mengumpul 16 mata.

 

Foto : Instagram STL.MY

Sumber : Stadium Astro (Farizal Yusoff)