Berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) Rabu lalu, jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan telah bertukar tangan namun, jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) tidak berubah.

Hal ini kerana perlembagaan persatuan sudah digubal dimana Menteri Besar Negeri Sembilan secara automatik dilantik sebagai Presiden PBNS sekaligus mengekalkan Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Presiden PBNS.

Menurut laporan NSTP, naib Presiden PBNS, Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin berkata, walaupun kepemimpinan kerajaan negeri telah bertukar tangan, tetapi status Mohamad sebagai Presiden badan induk bola sepak negeri itu tidak berubah.

“Perlembagaan sudah diubah bukan seperti sebelum ini. Justeru, Datuk Seri Mohamad (Hasan) masih kekal sebagai Presiden sehingga pemilihan kepimpinan PBNS yang akan datang,” katanya kepada NSTP, semalam.

 “Jawatan Presiden PBNS kini bukan lagi secara automatik diduduki Menteri Besar Negeri Sembilan sepertimana sebelum ini sebaliknya ia sudah boleh ditandingi kerana perlembagaan mengenainya sudah diubah.
Mengulas lebih lanjut lagi, status Mohamad turut diharap dapat menepis sebarang spekulasi dan kekeliruan terutama dalam kalangan orang ramai dan peminat setia skuad Hobin Jang Hobin.
“Saya harap penjelasan ini dapat menjawab pertanyaan peminat-peminat pasukan Negeri Sembilan mengenai kedudukan Presiden PBNS,” katanya.

Sementara itu, pada PRU14, Rabu lalu, Barisan Nasional tewas dengan memperoleh 16 kerusi berbanding Pakatan Harapan yang menang 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, sekali gus mereka layak membentuk kerajaan negeri.

Menteri Besar Negeri Sembilan kini dipegang oleh Aminuddin Harun, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat.

Selain itu, Mohamad Haslah turut berharap penjelasan itu dapat memperbetulkan laporan sebuah media cetak yang mengatakan kepimpinan baharu akan menerajui pentadbiran PBNS susulan keputusan PRU14.