Biarpun sekali lagi dilabel sebagai antara pasukan pilihan untuk menggegar Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK Premier 7s) yang akan berlangsung pada 23-25 Februari ini, namun Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) tetap melakukan persiapan rapi serta tidak memandang mudah laluan mereka kali ini.

Bakal turun dengan status selaku juara bertahan serta juara terbanyak kejohanan (empat kali) MCKK Premier 7s, jurulatih SSTMI, Syed Shazril Syed Mahadzir tetap mahu anak buahnya fokus terhadap semua pasukan yang bakal dihadapi nanti.

Dia berkata, “Kita sudah memulakan persediaan dari awal lagi dan telah menghantar pasukan kami menyertai Kejohanan Ragbi Rembau 7s B-17 pada awal tahun. Di kejohanan itu, pasukan SSTMI telah muncul naib juara dan kemungkinan besar, pasukan sama akan dihantar menyertai kejohanan MCKK Premier 7s kali ini. Mungkin akan berlaku 2 atau 3 rombakan pemain sahaja untuk memasukkan pemain junior sama seperti setiap tahun.

“Biarpun hanya ada satu sahaja pasukan dari luar yang menyertai MCKK Premier 7s tahun ini, namun laluan tetap sukar. Ini memandangan pasukan tempatan sendiri yang memiliki pemain-pemain berkualiti dan kebanyakan pasukan juga merupakan juara negeri. Apapun, kami akan mencuba yang terbaik dalam setiap perlawanan yang dilalui nanti,” kata Syed Shazril.

Jurulatih itu turut berwaspada dengan ancaman daripada tuan rumah sendiri, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang baginya memiliki kelebihan tersendiri.

Shazril berkata, “Mengenai pasukan lawan, kami mungkin perlu berhati-hati dengan tuan rumah, MCKK sendiri yang menunjukkan mutu permainan yang semakin meningkat naik. Mereka akan menjadi lawan sukar di Kuala Kangsar nanti. Selain itu, SMK Sri Mersing juga adalah satu pasukan yang bagus dan kita perlu fokus serta tidak terlalu yakin apabila bertemu mereka.

“Walaupun persiapan tahun ini agak sukar kerana faktor kesuntukan masa, namun kita telah memastikan semua pemain sudah bersedia dari aspek mental dan juga fizikal. Malahan, pemain-pemain juga sanggup tidak pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina kerana giat menjalani persiapan untuk menghadapi Ragbi MCKK Premier 7s,”ujar Shazril lagi.

Untuk rekod, SSTMI pernah muncul juara pada tahun 2011, 2012, 2016 dan 2017. Pada tahun lalu, SSTMI muncul juara setelah berjaya membenam cabaran daripada Sekolah Sukan Hong Kong (HKSS) 38-10 dalam perlawanan akhir.

SSTMI akan memulakan saingan MCKK Premier 7s dalam Kumpulan A bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW), Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Kubang Pasu (IKUP) dan MRSM Kuala Terengganu (MRSMKT).

24 pasukan dibahagikan kepada enam kumpulan bakal turun beraksi merebut kejuaraan kali ini dengan Sekolah Antarabangsa Australia merupakan pasukan tunggal dari luar negara mengesahkan penyertaan.

 

Senarai Pasukan Yang Menyertai Kejohanan:

 

Pasukan Tempatan:

SMK Abi (Perlis); SM Sains Pokok Sena (Kedah); Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu (Kedah); The Malay College Kuala Kangsar , Sekolah Tuanku Abdul Rahman, SMK King Edward VII (Perak); SM Sains Hulu Selangor, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (Selangor); Victoria Institution, SM Sains Hulu Selangor, Maktab Tentera Diraja (Kuala Lumpur); Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya); Sekolah Dato’ Abdul Razak, SMS Tuanku Jaafar, SMK King George V (Negeri Sembilan); SMK Sri Mersing, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, English College (Johor); Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan (Pahang); SM Sains Sultan Mahmud, MRSM Kuala Terengganu (Terengganu);  SMK Sultan Yahya Petra 1 (Kelantan); SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (Sarawak).

 

Pasukan Antarabangsa:

Sekolah Antarabangsa Australia (Singapura)