Connect with:




Tottenham Hotspur mempamerkan persembahan cemerlang apabila menewaskan Chelsea 3-1 dan sekaligus mengakhiri penantian selama 28 tahun untuk meraih kemenangan di Stamford Bridge, malam tadi.

Dele Alli menjadi wira buat Spurs apabila meledak dua gol dalam tempoh kurang lima minit dan meranapkan impian Chelsea untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Spurs kini lapan mata berbanding pesaing terdekat mereka untuk tangga keempat liga itu.

Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino berkata dia sentiasa yakin dengan kebolehan Alli walaupun pemain England itu bergelut untuk memenuhi piawaian yang ditetapkan.

“Saya amat gembira untuk Dele.”

“Ia tempoh yang sukar untuknya, tetapi saya suka bakat dan perwatakannya. Saya amat gembira untuknya kerana dia berhak untuk mendapatkannya.”

Alli bagaimanapun tidak disenaraikan untuk kedua-dua perlawanan persahabatan England menentang Belanda dan Itali baru-baru ini, malah pengendali England, Gareth Southgate menyatakan tempatnya dalam kesebelasan utama skuad Piala Dunia masih belum selamat.

“Saya pasti peminat kecewa dengan permainan saya hari ini,” kata Alli yang meraikan jaringan pertamanya dengan mengejek penyokong Chelsea.

“Saya rasa saya tidak perlu membuktikan apa-apa dengan cara saya bermain hari ini.”

Selepas meledak 22 gol musim lalu, Pochettino percaya Alli menjadi mangsa kepada kejayaan sendiri kerana ia terlalu awal dalam kariernya.

“Dia baru 21. Kadang-kadang kita lupa hakikat itu. Namun tak dinafikan dia ada bakat yang hebat.” katanya.

Sementara itu, masa depan pengendali Chelsea, Antonio Conte semakin samar selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok empat teratas, tanpa mengira keputusan mereka di separuh akhir Piala FA.

Sumber : Harian Metro

Foto Kredit : standard(dot)co(dot)uk