Connect with:




Tottenham Hotspur dilaporkan bersedia untuk menjual tonggak pertahanan mereka, Toby Alderweireld kepada Manchester United dengan harga 44 juta pound (RM231.3 juta) musim panas ini.

Pemain Belgium itu akan tamat kontrak pada tahun hadapan dengan Tottenham memiliki pilihan untuk melanjutkan kontraknya bagi tempoh 12 bulan lagi.

Jika Tottenham melanjutkan kontrak, ini akan menghidupkan klausa pelepasan kontrak bernilai 25 juta pound (RM137.1 juta) bermula musim panas 2019.

Perbincangan kontrak baharu sudah dimulakan bersama Alderweireld namun masih belum mencapai kata putus bersama pemain pertahanan itu.

Tottenham dikatakan tidak meneruskan perbincangan kontrak baharu selepas pemain itu meminta untuk dinaikkan gaji.

Pemain berusia 29 tahun itu meminta agar gajinya setara dengan pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk yang menerima gaji sekitar 180,000 pound (RM988,000) seminggu.

Pihak pengurusan Tottenham dilaporkan enggan membayar gaji melebihi 100,000 pound (RM549,000) seminggu.

Satu laporan menyatakan bahawa Tottenham bersedia melepaskan pemain itu penghujung musim ini dengan United, Paris St Germain (PSG) dan Barcelona sedang mengintai peluang bagi mendapatkan pemain itu.

Alderweireld yang dulu menjadi pilihan untuk bergandingan dengan Jan Vertonghen di bahagian pertahanan kehilangan tempat selepas Davinson Sanchez tiba di kelab itu.

Foto Kredit : bleacherreport(dot)com