Connect with:




Tottenham Hotspur sekali lagi berdepan igauan buruk apabila penggempur mereka, Dele Alli yang mengalami kecederaan hamstring pada perlawanan Ahad lalu disahkan tidak dapat turun beraksi hingga Mac ini.

Perkara itu disahkan kelabnya sendiri sejurus proses imbasan dan rawatan selesai dilakukan terhadap permain berkenaan.

Alli yang meledak gol penyamaan pada babak kedua ketika Spurs menewaskan Fulham 2-1 di gelanggang lawan terpaksa dikeluarkan selepas mengadu kesakitan di hujung perlawanan.

“Dele akan mengharungi tempoh pemulihan dengan staf perubatan kami menjangkakan dia akan kembali menjalani latihan pada Mac,” menurut Tottenham dalam satu kenyataan dalam laman web kelab itu.

Lebih buruk lagi, dia akan menyertai rakan sepasukannya dari England, Harry Kane yang menghadapi kecederaan buku lali sekaligus menyaksikan Spurs kehilangan khidmat dua tonggak utama mereka dari sebarang perlawanan sehingga Mac ini.

Mereka juga dijangka akan terlepas perlawanan kedua leg kedua Piala Carabao menentang Chelsea, aksi Liga Juara-Juara dengan Borussia Dortmund dan beberapa aksi utama Liga Perdana Inggeris.

Situasi bertambah parah buat skuad bimbingan Mauricio Pochettino apabila seorang lagi penyerang mereka, Son Heung-Min juga tidak dapat diturunkan kerana sedang menjalani kempen Piala Asia mewakili negaranya iaitu, Korea Selatan.

Dalam perkembangan lain, Lucas Moura hampir kembali beraksi selepas berehat dari kecederaan lutut dan Pochettino berkemungkinan tidak mempunyai pilihan lain selain menurunkannya di Stamford Bridge pada Khamis selepas mereka menang tipis 1-0  pada aksi pertama separuh akhir Liga Juara-juara.

Sementara itu, Spurs ketika ini menghuni tangga ketiga liga. Selain Kane dan Heung Min, Spurs juga kehilangan pemain tengah Perancis, Moussa Sissoko kerana kecederaan pangkal paha.

Foto: TeamTalk