Connect with:




Skuad hoki negara mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan Korea Selatan 4-2  dalam saingan Trofi Juara-juara Asia yang berlangsung di Muscat, semalam.

Kemenangan itu sekaligus menghadiahkan anak buah Roelant Oltmans sembilan mata selepas tiga perlawanan sekaligus mereka layak ke separuh akhir dengan berbaki dua perlawanan menentang India atau Pakistan untuk mara ke final.

Malaysia mendahului pada babak pertama minit ke-11 menerusi Firhan Ashaari namun Korea terus menggasak dan berjaya menghasilkan dua jaringan dari Yang Jihun (15th) dan Jang Jong Hyun (ke-20).

Bagaimanapun, kegembiraan Korea Selatan terhenti selepas jaringan gol dari Shahril Saabah (22), Tengku Ahmad Tajuddin (35) dan Faizal Shaari (57) melengkapkan permainan seterusnya menyumbangkan mata maksimum kepada mereka.

Sementara itu, perlawanan sebelum ini menyaksikan Malaysia menewaskan Jepun 3-0 dan Oman 3-1.

“Selepas permulaan yang baik, kami memberikan ruang terlalu banyak kepada Korea dan malangnya mereka menjaringkan dua gol dari sudut penalti,” kata Oltmans.

“Kami mengekalkan struktur kami dengan baik.

“Apabila pasukan saya dapat menjaringkan empat gol dalam padang, saya tidak terlalu bimbang tentang sudut penalti kami, walaupun kami merasakan lebih baik untuk mendapatkan lebih banyak gol.”

Malaysia bakal menentang India pada malam ini dan untuk rekod kedua-dua pasukan mempunyai sembilan mata, tetapi India memiliki sedikit kelebihan dari segi jaringan gol.

Foto Kredit: Malaysian Hockey Confederation