Usaha yang berterusan ‘Speedy Tiger’ masih belum cukup untuk menyekat India pada perlawanan akhir Hero Piala Asia 2017 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhashani, Dhaka, Bangladesh, malam tadi.

Impian skuad negara dalam memenangi Piala Asia buat pertama kali lebur selepas tewas tipis kepada India 2-1.

Hal ini berikutan serangan bertali arus pasukan India membantutkan jentera serangan Malaysia.

‘Speedy Tiger’ dikejutkan dengan jaringan awal Ramandeep Singh mudah menewaskan penjaga gol negara, S Kumar.

Skuad Malaysia yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-13 namun kesilapan yang berlaku memperlihatkan Malaysia belum mampu menyekat kemaraan India.

Kesengsaraan Malaysia ditambah lagi dengan jaringan pada minit akhir babak pertama apabila hantaran Sumit berjaya menemui Lalit Upadhyay bagi menggandakan jaringan India pada minit-29.

Bertemu pada babak kedua, anak buah Stephen van Huizen tetap teguh meneruskan serangan dan Muhammad Shahril Saabah menjadi penyelamat apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-50.

Namun, tuah tidak menyebelahi Malaysia apabila tiada jaringan yang dilakukan sehingga tamat perlawanan.

India dinobatkan sebagai pemenang juara Piala Asia buat kali ketiga.

Kejayaan Malaysia untuk sampai ke peringkat final haruslah dipuji dan ini merupakan kali pertama Malaysia layak sejak edisi pertama pada 1982.

Penyerang negara Faizal Saari dinobatkan dengan dua anugerah iaitu selaku pemain terbaik sepanjang kejohanan dan penjaring terbanyak kejohanan dengan tujuh gol dan berkongsi anugerah penjaring terbanyak itu bersama-sama pemain India, Harmanpreet Singh.

Skuad ‘Speedy Tiger’ kini perlu fokus pada Kejohanan Hoki Piala dunia 2018 di India. Segala persiapan haruslah dilakukan agar mampu membawa pulang piala buat Malaysia.

Ayuh ‘Speedy Tiger’ !

Foto Kredit: Malaysian Hockey Federation