Khairul Hafiz Jantan menyifatkan kejayaannya meleburkan rekod kebangsaan 200 meter (m) berusia 49 tahun milik Tan Sri Dr. M. Jegathesan, malam ini memberikannya ‘tonik’ terbaik untuk menggegar Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bulan depan.

Khairul Hafiz berkata, dia yakin boleh berlari dengan lebih laju ketika temasya sukan SEA nanti.

“Saya terlalu gembira dengan kejayaan ini dan yakin boleh berlari dengan lebih laju lagi daripada hari ini. Kejayaan ini adalah tunjuk ajar jurulatih serta sokongan berterusan keluarga dan rakan.

“Saya sudah nampak strategi larian dan kena ikut arahan jurulatih. Insya-Allah kejayaan ini mampu menjadi pencetus semangat kepada saya untuk melakar kejutan pada Sukan SEA nanti,” katanya.

Percaturan Khairul Hafiz yang tidak mengambil bahagian dalam acara 100m di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017 semalam, jelas berbaloi apabila meninggalkan jauh pencabar dengan mencatat kepantasan 20.90 saat (s), sekali gus meleburkan rekod lama Jegathesan 20.92s.

Rekod lama itu dilakar Jegathesan atau digelar ‘The Flying Doctor’ pada Sukan Olimpik Mexico 1968.

Khairul Hafiz yang dikenali sebagai ‘The Speedy Jantan’ yang mewakili Melaka turut memperbaharui rekod kejohanan 20.94s yang dicatat Kento Terada di Kangar pada 1996 untuk memenangi emas acara itu, meninggalkan Jonathan Nyepa (21.92s) dan G Aravinn Thevar (21.31s).

Rekod Sukan SEA acara itu adalah 20.69s milik Reanchai Seeharwong yang dicipta atlet Thailand itu pada Brunei 1999, manakala atlet Vietnam, Le Trong Hinh mencatat kepantasan 20.89s ketika memenangi emas di Singapura dua tahun lalu.