122

Kelab bola sepak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Putrajaya (SPA Putrajaya FC) yakin dapat melayakkan diri ke Piala Malaysia dengan muncul antara empat pasukan terbaik dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Presidennya Datuk Ramli Juhari berkata keyakinan itu berdasarkan kemampuan
skuad itu layak ke peringkat suku akhir Piala FA 2012 serta meraih kejayaan
dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sejak kebelakangan ini.

Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata kelab itu telah berjaya mengalahkan pasukan Liga Super, Negeri Sembilan, T-Team dan Selangor dalam perlawanan persahabatan pra musim sebelum menghadapi kempen Liga Perdana.

Bagi perlawanan pembukaan Liga Perdana pada Isnin ini, Ramli berkata beliau
yakin pasukan yang dipimpin ketua jurulatih, Mohd Shah Norbit, mampu mengatasi
pasukan tuan rumah, Sabah, di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Antara pemain berpengalaman yang menyertai kelab tersebut ialah bekas pemain Harimau Muda B, Gan Jay Han, bekas kapten Kuala Lumpur Mohamed Aslam Haja Najumudden dan bekas pemain tengah Pulau Pinang Mohd Arsyah Mohd
Ayob.

SPA Putrajaya FC ditubuhkan pada 2005 dan pencapaian terbaik mereka ialah
menjuarai Liga FAM pada musim lepas.-BERNAMA.