Pendatang baharu Liga Perdana 2013, Kelab Bola Sepak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA Putrajaya FC) optimis mereka mampu bersaing dengan pasukan lain walaupun tidak menggunakan khidmat pemain import.

Pengurus pasukan Nizam Jamil berkata hampir 50 peratus muka lama dikekalkan
selain mengambil beberapa pemain baharu yang berpengalaman untuk memantapkan skuad juara Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 2012 itu bagi saingan musim hadapan.

“Kita percaya dengan kemasukan pemain-pemain baharu yang berpengalaman serta
perlawanan pramusim yang kita jalankan, kita mampu memberi saingan kepada
pasukan lain dalam Liga Perdana walaupun tanpa khidmat pemain import untuk musim depan,” katanya.

Nizam bercakap kepada pemberita selepas majlis pengenalan pemain skuad itu
yang disempurnakan Pengerusi SPA merangkap penaung kelab, Tan Sri Mahmood Adam di sini hari ini.

Antara pemain berpengalaman yang menyertai kelab bola sepak yang ditubuhkan
pada 2005 itu ialah bekas pemain Harimau Muda B, Gan Jay Han; bekas kapten Kuala Lumpur Mohamed Aslam Haja Najumudden dan bekas pemain tengah Pulau Pinang Mohd Arsyah Mohd Ayob.

Mengulas lanjut, Nizam yang juga bekas pemain Selangor berkata pasukan itu
berhasrat melayakkan diri buat julung kali ke Piala Malaysia.

“Saya harap kita mampu menempatkan diri menjadi empat pasukan terbaik dalam
Liga Perdana musim hadapan, sekali gus layak ke Piala Malaysia selain memberi
saingan sengit kepada pasukan negeri.

“Untuk saingan Piala FA, kami tidak meletakkan sasaran tinggi memandangkan
kita akan bertemu Terengganu pada pusingan pertama, namun saya berharap pemain mampu memberi persembahan terbaik,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih pasukan, Mohd Shah Norbit berkata beliau
berpuas hati dengan persiapan anak buahnya untuk menghadapi Liga Perdana musim akan datang melalui enam perlawanan persahabatan pramusim.

Daripada enam perlawanan berkenaan, pasukan itu mencatat tiga kemenangan
termasuk mengalahkan Selangor 2-1, satu keputusan seri dan dua kekalahan.

Beliau turut berharap pengurusan pasukan mampu mendapatkan pemain import
yang bersesuaian ketika jendela perpindahan pemain musim kedua dibuka  April
depan.

“Kita pernah menjalankan ujian terhadap seorang pemain luar negara sebelum
ini tetapi FAM tidak meluluskan permohonan kita memandangkan pemain itu beraksi di Divisyen 2 Liga Perdana Thailand…jadi kita terpaksa menggugurkan dia,”
katanya.

Pasukan SPA Putrajaya FC menjadikan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di
Cheras sebagai gelanggang utama mereka musim hadapan.
Barisan pemain SPA Putrajaya FC musim 2013:
——————————————–
Mohamad Soffuan Tawil, Mohd Faiz Ismail, Mohd Nuraizat Abdul Aziz, Mohd Nor
Ismail, Mohd Amri Fazal Mat Nor, Khairil Anuar Khalid, Muzammer Mohmad Zaki, Gan Jay Han, Sazali Suwandi, Muhd Nabil Fikri Ilias, Nor Azizi Azman, Muhammad
Haznur Aliff Abdul Kamal, Mohamed Aslam Haja Najumuden, Rosli Muda, Raja Mohd Hafillah Raja Mamat, Muhammad Fikri Elhan, Norfahmie Hadzrin Nordin, Mohd Norhafizzuan Jailani, Mohd Zulkifli Affendi Mohd Zakri, Mohd Rosdi Zakaria,
Fadzly Iskandar Adnan, Muhd Nor Saiful Abdul Rahman, Mohd Arsyah Mohd Ayob,
Muhammad Asyraf Mohd Aljapri, Muhammad Asyidi Dil Sashar Yusof, Mohd Farizal
Rozali, Mohammad Hakim Zainal, Mohd Hanifuddin Abdul Rahman, A. Puvana Rajah, Mohd Asrulnazwan Ibrahim, Khairol Azry Abdul Rahman –¬†BERNAMA