Kecemerlangan penjaga gol SPA FC menafikan beberapa serangan berbahaya Kelantan di awal babak pertama tidak memberi erti apabila pasukannya tumbang 0-3 kepada Kelantan dalam aksi pertama suku akhir Piala FA 2012 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Turun selaku pasukan bukan pilihan, SPA FC yang dibimbing Mohd Nidzam Jamil memberikan aksi yang terpuji apabila dilihat berjaya menyekat asakan bertali arus Kelantan bermula dari awal permainan. Aksi cemerlang penjaga gawangnya, Mohd Nuraizat Abd Aziz sedikit sebanyak membantu SPA FC bertahan.

Walaubagaimanapun, di penghujung babak pertama, kapten RedWarrior, Badri Radzi akhirnya memecah kebuntuan hasil jaringan dari luar kotak penalti. Sebelum itu, Kelantan berpeluang menjaringkan gol antaranya menerusi rembatan S. Chanturu pada minit ke-21.

Penguasaan Kelantan sukar disangkal lagi apabila SPA FC cuma dua kali berjaya memecah kubu pelawat sepanjang separuh masa pertama. Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-43 apabila penyerang, Khairol Azry berjaya melepasi pertahanan hasil larian pantasnya, namun rembatannya sekadar menggegar tiang gol yang dikawal Mohd Shahrizan Ismail, yang telah tewas.

Babak kedua juga tiada banyak perubahan dengan penguasaan bola masih menjadi milik anak didik  Bojan Hodak.  Pada minit ke-54, berpunca daripada hantaran Nwoha Onyekachi pada Mohd Norfarhan yang melepaskan rembatan tepat ke penjaga gol tuan rumah menghasilkan gol kedua buat Kelantan. Bola yang gagal ditepis kemas penjaga gol menyebabkan bola itu melantun masuk ke pintu gol SPA FC.

Sekali lagi Nwoha Onyekachi membantu untuk gol ketiga Kelantan pada minit ke-77 apabila rembatannya di dalam kotak penalti ditepis Noraizat dan terus disambar Mohd Norfarhan yang tidak dikawal sesiapa. Kelantan gagal menambah lagi jaringan apabila Nurul Azwan Roya lambat menyempurnakan peluang yang diperolehinya seterusnya dirampas pertahanan tuan rumah pada minit ke-89.

Dengan kemenangan ini, Kelantan seperti sudah sebelah kaki untuk ke peringkat separuh akhir apabila aksi kedua perlawanan ini akan berlangsung di gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada Selasa ini.

Keputusan Penuh Suku Akhir Piala FA 2012:

Kedah 0-0 T-Team
Terengganu 1-0 Lions XII
Sime Darby 3-2 Johor FC